Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ibu bapa atau penjaga yang dikenakan tindakan senarai hitam oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak layak memohon kemasukan anak mereka ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang bagaimanapun berkata tindakan senarai hitam diambil hanya bersifat sementara.
Beliau berkata, penyenaraian hitam itu boleh ditarik semula jika peminjam atau ibu bapa pelajar tampil kepada MARA untuk membuat penyesuaian atau penstrukturan.
“Sistem senarai hitam dikenakan kepada mereka yang tidak membayar pinjaman selama tiga bulan, namun ia bersifat sementara kerana kita mahu peminjam datang kepada MARA dan menyelesaikannya.
“Kalau tidak mampu bayar, kita buat penyesuaian semula. Lepas berjumpa selalunya mereka akan membayar dan secara automatik tidak lagi disenarai hitam,” katanya.
Memetik laporan dari Berita Harian, beliau berkata syarat kemasukan pelajar ke MRSM adalah calon, ibu atau bapa kandung adalah warganegara Malaysia, calon memohon secara dalam talian, perlu menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) serta mendapat keputusan cemerlang selain ibu bapa atau penjaga tidak disenarai hitam oleh MARA.
Dalam pada itu, beliau menegaskan latar belakang bukan keutamaan MARA dalam meluluskan permohonan kemasukan ke MRSM, namun keputusan cemerlang dalam akademik dan UKKM.
“Layanan dari sudut akademik sama tetapi kita mewujudkan pembayaran berbeza kepada M40 dan T20 untuk memenuhi kehendak dalam sistem.
“Bagi B40 yang tidak mampu, kita ada program khas dikenali sebagai Budi yang mana MARA menaja sepenuhnya kepada yang layak dengan bantuan sehingga RM2,500 setahun dan wang poket RM50 sebulan,” katanya.








