Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kecoh di media sosial apabila dua pempengaruh Malaysia, Ammar Mohd Nazhan dan Aras Abdullah, mereka cerita kehilangan rakan mereka di Bandung, Indonesia. Perkara ini mengundang kecaman ramai, malah mereka kini berdepan kemungkinan disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia.
Peguam Muhammad Aidil Akmal Sharidan menjelaskan, walaupun insiden berlaku di luar negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih boleh menjalankan siasatan sekiranya ada laporan dibuat.
“Jika ada laporan, pihak berkuasa akan menyiasat dahulu sebelum menyerahkan kepada pendakwa raya untuk melihat sama ada kes ini cukup kukuh untuk didakwa di mahkamah,” katanya.
Mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mereka yang menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali. Jika masih berulang selepas pensabitan, denda tambahan RM1,000 sehari boleh dikenakan.
Sebelum ini, Ammar dan Aras mendakwa rakan mereka, Eyka, hilang di dalam hutan selama tiga hari. Namun, siasatan polis Indonesia mendedahkan ia hanyalah lakonan. Susulan itu, kedua-duanya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak berkuasa Indonesia.
Peguam Haziq Aizuddin Subhi pula berpendapat, kandungan yang dihasilkan sekumpulan anak muda itu jelas menyalahi undang-undang kerana menyebarkan maklumat palsu.
“Kandungan sebegini bukan saja menipu orang ramai, malah boleh menjejaskan imej negara. Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan pemantauan lebih ketat ke atas pencipta kandungan media sosial,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut mengingatkan para pempengaruh supaya berpada-pada dalam menghasilkan kandungan di media sosial.
“Bagi pempengaruh yang buat content, nasihat saya jangan keterlaluan. Netizen hari ini cepat menyiasat dan mendedahkan perkara sebenar. Ambil pengajaran daripada insiden ini,” katanya.
Kerajaan, katanya, akan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.
Sumber: Harian Metro, mStar Online