Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kecil-kecil cili padi, ungkapan yang sesuai ditujukan buat adik Amatullah Hamidah binti Muhammad Luqman Al Hakim yang telah berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia apabila menjadi juara dalam kategori Early Childhood Group (7 tahun) menerusi pertandingan 63rd International Children and Youth English Recitation anjuran Global Arts and Culture Association (GASCA) yang diadakan di Hong Kong, China.
Amatullah sebelum ini tular dengan kepetahannya berpidato dan telah menjadi juara dalam Pidato Peringkat Kebangsaan dalam Alam Ria PASTI Malaysia di Melaka.
Pencapaian yang membanggakan itu turut dikongsikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi perkongsian di Facebook.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada anakanda Amatullah Hamidah binti Muhammad Luqman atas kejayaan gemilang memenangi tempat pertama dalam 63rd GASCA International English Recitation Competition.
“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga tetapi juga menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Terengganu dan pelajar PASTI dari seluruh Malaysia. Kemampuan anakanda Amatullah untuk bersaing di peringkat antarabangsa menunjukkan bakat dan potensi anak-anak Terengganu yang luar biasa.
“Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak-anak untuk terus berusaha cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi. Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited menyokong generasi muda yang berani mencabar diri menonjolkan bakat masing-masing serta membanggakan negeri,” katanya.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada para pendidik dan keluarga yang menjadi tulang belakang kejayaan Amantullah.
“Sekali lagi, tahniah dan syabas buat Amatullah, para pendidik serta keluarga atas kejayaan besar ini,” ujarnya.








