Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri mencuri perhatian apabila memberi bayangan bakal mengeluarkan lagu raya untuk Aidilfitri 2025.
Menerusi hantaran di Instagram, Aliff menulis, “Ada yang tak sabar dengar lagu raya artis nombor 1 Malaysia?”, seolah-olah memberi petunjuk tentang projek baharunya.
Namun, pengumuman tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen di ruangan komen. Ada yang berseloroh dan ada juga yang menzahirkan rasa kurang senang, mengingatkan kontroversi lagu rayanya sebelum ini yang menampilkan penari dengan aksi mencolok mata.
“Dah kata Datuk tak kosong tahun ni,” komen seorang pengguna, sementara yang lain menambah, “Ya ampun, dia tak taubat lagi. Tadah la telinga semua orang ya.”
Terdahulu, pada Ramadan lalu, muzik video lagu raya Aliff Syukri mendapat kritikan hebat selepas ibunya sendiri, Bonda Rozita Ibrahim, menegurnya secara terbuka. Beliau menasihati anaknya agar memadam muzik video tersebut jika masih menghormati dirinya sebagai ibu, terutama ketika umat Islam sibuk beribadah di penghujung Ramadan.
Walaupun dikecam, Aliff tetap meneruskan usahanya dalam industri hiburan, malah netizen kini tertanya-tanya sama ada lagu raya kali ini bakal mencetuskan kontroversi lagi atau sebaliknya.