Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa terbeban dengan kos penyelenggaraan rumah mewahnya yang kini semakin meningkat.
Menerusi hantaran di Instagram tiga hari lalu, usahawan terkenal itu berkongsi pengalaman mengenai perbelanjaan besar yang perlu ditanggung setiap tahun untuk membaiki dan menyelenggara kediamannya.
Menurut Aliff, ketika membina rumah tersebut, dia hanya memikirkan keseronokan memiliki kediaman impian tanpa mempertimbangkan kos penjagaan jangka panjang. Namun, setelah beberapa tahun mendiaminya, beliau kini sedar bahawa penyelenggaraan rumah bersaiz besar bukanlah sesuatu yang mudah.
“Rasa terbeban sangat bila ada rumah yang besar. Masa dulu, sewaktu nak buat rumah ini, fikir seronok saja. Tak fikir nak mantain. Tapi bila dah ada dan dah duduk, baru tahu kos nak ada rumah besar ini bukan mudah,” katanya.
Aliff turut mendedahkan bahawa beliau perlu memperuntukkan ratusan ribu ringgit setiap tahun bagi tujuan penyelenggaraan, lebih-lebih lagi apabila rumah semakin berusia dan mengalami pelbagai kerosakan.
Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mempertimbangkan kos penjagaan sebelum membuat keputusan memiliki rumah yang besar.
“Semakin besar rumah, semakin tinggi kos. Terutama bila rumah itu sudah lama dan ada banyak kerosakan,” katanya lagi.
Untuk rekod, rumah Aliff Syukri yang dikenali sebagai Aliff Syukri Palace dibeli pada 2015 dan menjalani proses pengubahsuaian sepenuhnya sebelum siap diduduki pada April 2018. Kediaman mewah ini berkeluasan satu ekar dan dilengkapi 30 bilik, termasuk gimnasium, surau serta bilik kebal.