Pempengaruh sensasi, Alif Teega, telah didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam sejumlah lebih RM63,000 melalui dua program infaq pada bulan April dan Jun yang lalu.
Alif atau nama sebenar, Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, bagaimanapun memilih untuk mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan pertama, Alif didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai sebanyak RM36,047.35 untuk tujuan Infaq Iftar di Mekah, Syria dan Palestin, pada 26 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Alif didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai sebanyak RM27,558.13 untuk tujuan program “JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN” pada 15 Jun.
Pada bulan Julai sebelum ini, Alif dan isterinya, Aisyah Hijanah, telah direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya atas tuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.
Setelah direman, pasangan berkenaan kemudian memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar penahanan reman mereka berdasarkan Seksyen 23 SPRM yang berkaitan dengan kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.
Namun, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan semakan pasangan ini setelah mendapati Mahkamah Majistret Putrajaya telah mematuhi peruntukkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Sebelum ini, Alif menafikan semua tuduhan penyelewengan dan pecah amanah yang tersebar di media sosial. Pasangan suami isteri ini juga menegaskan mereka tidak pernah menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.
Sumber: Harian Metro








