Albert Tei tarik diri bertanding lawan Anthony Loke di DUN Chennah, sokong calon MCA | The Reporter

Albert Tei tarik diri bertanding lawan Anthony Loke di DUN Chennah, sokong calon MCA

Albert Tei mengumumkan tarik diri bertanding di DUN Chennah dan menyokong calon MCA John Siow
Albert Tei. Gambar: The Malaysia Reserve

Ahli perniagaan, Albert Tei mengumumkan keputusan menarik diri daripada bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada calon MCA daripada Barisan Nasional (BN), John Siow.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Albert berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bagi membincangkan perkara berkenaan.

Beliau sebelum ini dijangka bertanding di DUN Chennah menentang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang juga penyandang kerusi berkenaan.

“Selepas perbincangan dengan beliau, saya membuat keputusan untuk tarik diri bertanding di DUN Chennah, Negeri Sembilan melawan Anthony Loke Ketua Pemimpin DAP,” katanya.

Albert berkata, beliau memberi sokongan penuh kepada John Siow untuk bertanding di kerusi itu selepas membuat penilaian terhadap calon berkenaan yang disifatkan mempunyai ciri kepimpinan serta berjiwa rakyat.

“Saya telah membuat saringan bahawa beliau merupakan seorang yang berjiwa rakyat serta berkredibiliti menggalas amanah tersebut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan akan hadir bersama John Siow ketika proses penamaan calon pada 18 Julai ini sebagai tanda sokongan terhadap calon BN itu.

Baca juga:

Selain itu, Albert berkata beliau akan membantu kempen BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 31 Julai.

“Saya berjanji dengan Presiden Wee bahawa saya akan berkempen untuk semua calon Barisan Nasional bermula 18 hingga 31 Julai,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Albert turut menyatakan hasrat untuk menyampaikan pandangannya kepada masyarakat Negeri Sembilan mengenai prestasi kepimpinan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.

Beliau turut menyeru rakyat supaya membuat pertimbangan terhadap hala tuju politik negara dengan menilai aspek kesejahteraan dan ketenteraman masyarakat.

“Saya menyeru seluruh masyarakat Malaysia menghargai kebahagiaan, kesejahteraan dan ketenteraman negara kita,” katanya.

Related Posts