Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan dijangka menyaksikan persaingan menarik apabila ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei atau Tei Jiaan Cheing, 37, mempertimbangkan untuk bertanding pada pilihan raya berkenaan.
Memetik laporan Sinar Harian, Albert berkata beliau kini masih dalam fasa pertimbangan selepas menerima tawaran daripada sebuah parti politik untuk bertanding, namun enggan mendedahkan parti berkenaan.
“Ada parti yang tawarkan saya untuk bertanding dan saya masih dalam proses mempertimbangkannya, tetapi ia hampir pasti. Ramai kawan-kawan dan pengikut di media sosial yang berharap saya bertanding,” katanya.
Beliau dilapor menyasarkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, yang kini disandang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Baca juga:
- ‘256 warga asing Network School Forest City guna Pas Lawatan Sosial’ – KP Imigresen
- ‘Suami saya bukan penjenayah!’- Wanita Orang Asli dakwa suami ditahan
- Kes hak cipta plat MADANI: Mahkamah arah JPJ bayar RM40,000 kepada Hasan Azhari
Menurut Albert, hasratnya untuk menceburi politik didorong oleh rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang didakwa gagal menunaikan janji kepada rakyat.
“Saya belum pernah menjadi ahli mana-mana parti politik kerana perjuangan saya selama ini atas kapasiti peribadi. Tapi mungkin PRN di Negeri Sembilan menjadi medan pertama saya menceburi politik,” jelasnya.
Terdahulu, Anthony Loke mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi DUN Chennah pada PRN akan datang.








