LANGKAWI, KEDAH – Rakaman video seorang wanita membaling selipar pada kereta seorang pemandu hanya kerana tidak puas hati ditegur merampas parking yang telah ditunggu, viral di media sosial.
Video yang dimuat naik Lim H. En itu semalam juga telah ditonton lebih 2 juta kali dan dikongsi 33,166 pengguna Facebook.
Difahamkan, Lim telah membuat laporan polis pada hari kejadian. Namun belum ada sebarang perkembangan positif. Lim kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.
Penjelasan Pemandu Proton Persona
Sementara itu, pemandu kereta Proton Persona itu pula tampil memberi penjelasan dari sebelah pihaknya.
“Kami sampai bazaar lebih kurang jam 7 petang. Saya ternampak parking dan tanpa fikir apa-apa saya terus masuk sebab nak kejar masa beli juadah berbuka puasa. Bila sudah siap parking, kunci kereta, saya terus jalan ke bazar. Pada waktu itu tiada sesiapa yagn datang menyapa saya.
“Kemudian saya ternampak pemandu Cina itu mengundurkan kereta dan membunyikan hon panjang sehingga membuatkan semua orang memandang saya. Saya pun terus pergi ke arahnya dan bertanya kenapa dia berbuat demikian.
“Dia kata, ‘Itu parking saya! Bawa kereta tak ada lesen ka?’ dengan nada yang marah. Saya pula malas nak bergaduh dan terus berjalan ke bazar. Bila separuh jalan, saya pusing ke belakang dan ternampak dia sedang merakam gambar kami.
“Saya patah balik dan tanya kenapa dia merakam gambar kami? Namun tiada jawapan yang diberi dan dia terus kunci pintu dan tutup cermin kereta, serta menunjuk penumbuk kepada kami yang mencetuskan perbalahan di antara kami.
“Mungkin di dalam rakaman video itu kami nampak bersalah sebab video sebelah pihak sahaja, tetapi apa yang dibuat oleh mereka tidak pula ditunjukkan,” tulisnya seperti yang tersebar di media sosial.
Katanya lagi, dia menerima sahaja dengan hati yang ikhlas di atas komen-komen yang mencaci makinya dan memohon maaf sekiranya dia benar-benar bersalah.
“Tetapi jika dia yang bersalah, saya ingin dia membersihkan nama saya kembali. Viralkan juga penjelasan dari pihak saya seperti mana yang diviralkan oleh sebelah pihak Cina itu,” tulisnya. – The Reporter