Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Wanita yang dilaporkan hilang bersama anak dan dua cucunya menafikan dakwaan mereka hilang ketika bercuti di Pulau Perhentian. Sebaliknya apa yang berlaku adalah telefon bimbit mereka rosak menyebabkan ahli keluarga di Johor tidak dapat menghubungi mereka.
Suraidah Abdul Ghani berkata, telefon bimbit dia dan anak lelakinya dimasuki air ketika melakukan aktiviti snorkeling, ekoran beg kedap udara yang digunakan mengalami kebocoran.
“Keadaan itu menyebabkan telefon kami tidak dapat dihidupkan semula. Namun Aiman cuba menghubungi kakaknya menggunakan iPad, tetapi tidak dijawab,” katanya.
Bimbang dengan keadaan itu, Suraidah mengambil keputusan untuk mendaftar keluar lebih awal dari pusat penginapan. Dalam masa sama cucunya, Sasa pula mengalami demam panas dan dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Suraidah kemudian meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu kerana telah berjanji untuk membawa cucunya melawat Masjid Kristal dan Muzium Terengganu.
Selesai aktiviti di Terengganu, mereka kemudian pulang ke Kluang pada Selasa.
“Saya hanya menyedari berita mengenai kehilangan kami tular selepas tiba di rumah pada jam 2 petang tadi,” katanya.
Sumber: Kosmo! Online