Ahli UMNO, BN diingatkan jangan sertai Himpunan Turun Anwar – Ahmad Maslan | The Reporter

Ahli UMNO, BN diingatkan jangan sertai Himpunan Turun Anwar – Ahmad Maslan

Datuk Seri Ahmad Maslan tersenyum ketika menghadiri satu majlis rasmi, berlatarbelakangkan dinding berwarna maroon.
Ahmad Maslan mengingatkan ahli UMNO dan BN supaya tidak menyertai Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang. | Kredit gambar: The Edge Market

Ahli kerajaan perpaduan digesa kekal setia

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan tiada keperluan mendesak untuk menggantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Justeru, beliau mengingatkan ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar tidak terlibat dalam Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung Sabtu ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Menurutnya, penyertaan dalam perhimpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) itu tidak wajar memandangkan UMNO dan BN merupakan komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk melalui persefahaman pada 24 November 2022.

“Langsung tiada faktor yang mendesak untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim diturunkan daripada jawatan Perdana Menteri,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Baca juga:

Risiko ketidakstabilan dan kerosakan ekonomi

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah, himpunan itu tidak akan membawa manfaat sebaliknya hanya mencetuskan ketidakstabilan politik yang akhirnya menjejaskan keyakinan pelabur dan merosakkan ekonomi negara.

“Perhimpunan seperti ini tidak membawa sebarang manfaat, malah mereka yang menyertainya akan turut terpalit sebagai pihak yang merosakkan kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya lagi.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan kini giat membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif antaranya pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada lebih 22 juta penerima dengan jumlah peruntukan RM2 bilion.

“Memang ada yang kata RM100 tidak cukup, tetapi jumlah itu diberikan kepada 22 juta penerima… itu belum diambil kira lagi usaha kerajaan menurunkan harga minyak, program Jualan Rahmah dan kadar tol yang tidak dinaikkan,” tambahnya.

BN akan terus bersama Kerajaan Perpaduan hingga PRU16

Ahmad turut memetik kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan BN tidak akan bergerak secara solo hingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun akan tetap menggunakan logo parti sendiri sambil meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts