Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
15 Ogos lalu, seorang ahli gimnastik muda, Natalie Stichova, terjatuh dari Gunung Tegelberg ketika cuba mengambil gambar selfie.
Natalie, 23, berasal dari Republik Czech, terdahulu sedang menikmati lawatan ke Neuschwanstein Castle yang terkenal di Bavaria, Jerman.
Dalam usaha untuk mengambil gambar selfie yang cantik dengan istana terkenal itu, Natalie dikatakan berdiri terlalu dekat dengan tebing gunung semasa meletakkan kamera. Dia secara tiba-tiba hilang keseimbangan dan terjatuh dari ketinggian hampir 262 kaki.
“Dia jatuh dari ketinggian kira-kira 80 meter (262 kaki). Tak tahu sama ada dia tergelincir atau sebahagian daripada tebing batu itu runtuh,” kata seorang rakan yang enggan didedahkan namanya.
Natalie yang mengalami kecederaan teruk terus diterbangkan ke hospital. Keadaannya dilaporkan semakin teruk dan otaknya mengalami kerosakan yang tidak dapat dipulihkan memaksa keluarganya terpaksa membuat keputusan untuk mencabut alat sokongan hidupnya pada 21 Ogos lalu.
Kelab gimnastik tempatan, Sokol Pribram Sports Gymnastics, turut mengeluarkan kenyataan takziah di atas tragedi yang menimpa Natalie.
“Dengan kesedihan yang mendalam, kami mengumumkan sahabat kami yang hebat, ahli gimnastik, Natalie Stichova, telah meninggalkan kita buat selama-lamanya akibat kemalangan tragis,” kata kenyataan itu. – Agensi








