Afreena akui alami kemurungan sejak Along Cham ditahan | The Reporter

Afreena akui alami kemurungan sejak Along Cham ditahan

Afreena akui kemurungan

Isteri kepada pelakon dan pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi, 32, mengakui mengalami tekanan emosi dan kemurungan ringan sejak suaminya ditempatkan di penjara selepas tidak dibenarkan diikat jamin atas dakwaan memiliki dadah jenis kanabis.

Afreena menjelaskan, dia berasa sedih hingga tidak lalu makan dan sukar tidur malam. Situasi itu turut menyebabkan berat badannya turun sebanyak lima kilogram dalam tempoh 10 hari selain mengalami sakit kepala yang memburukkan lagi keadaannya.

Menurut Afreena, hubungan rapat dengan suaminya membuatkan penahanan Along meninggalkan kesan emosi mendalam. Dia menyifatkan hubungan mereka bukan sekadar suami isteri, tetapi seperti rakan karib yang sering melakukan pelbagai aktiviti bersama, walaupun baru lapan bulan berkahwin.

Walaupun keadaan ini berat untuk dilalui, Afreena menegaskan dia perlu kuat demi anak-anaknya dan berusaha membantu Along supaya dapat dibebaskan segera. Dia turut menyatakan sokongan keluarga, terutama bapanya, menjadi pendorong untuk terus cekal menghadapi ujian ini.

Dalam satu hantaran di media sosial, Afreena meluahkan bahawa ujian ini adalah dugaan besar daripada Allah dan dia berjanji mereka akan bersatu semula tidak lama lagi. Dia juga meminta orang ramai tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai suaminya, selain berharap mereka mendoakan kebaikan buat keluarganya.

Terdahulu, Along atau nama sebenar, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, didakwa di dua mahkamah berasingan atas pertuduhan memiliki ganja seberat 58.23 gram dan 2.07 gram di sebuah rumah di Cyberjaya pada 14 Disember lalu. Along bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Sumber: Harian Metro, Berita Harian, Kosmo! Online

Related Posts