Adik Presiden Ireland antara ditahan tentera Israel | The Reporter

Adik Presiden Ireland antara ditahan tentera Israel

Dr. Margaret Connolly antara ditahan tentera Israel.
Gambar: Irish Independent

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dr. Margaret Connolly, seorang doktor terkenal di Ireland dan merupakan adik kepada Presiden Ireland Catherine Connolly, dilaporkan antara sekurang-kurangnya enam rakyat Ireland yang ditahan selepas kapal flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza dipintas tentera laut Israel.

Insiden itu berlaku pada Isnin di perairan antarabangsa, kira-kira 70 batu nautika dari pantai Cyprus. Tentera Israel dilaporkan menaiki dan mengambil alih lebih 10 kapal daripada konvoi Global Sumud Flotilla yang sedang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Tidak lama selepas hubungan dengan konvoi terputus, penganjur flotila menyiarkan rakaman video SOS yang telah dirakam lebih awal oleh Dr. Connolly. Dalam video tersebut, beliau menunjukkan pasport Ireland miliknya sambil mendakwa dirinya ‘diculik’ oleh tentera Israel.

“Jika anda menonton video ini, bermakna saya telah diculik dari kapal flotila oleh tentera penjajah Israel dan kini ditahan secara tidak sah di penjara Israel,” katanya dalam rakaman itu.

Beliau turut menyatakan rasa bangga dapat menyertai misi flotila berkenaan yang disifatkannya sebagai yang terbesar pernah dianjurkan setakat ini.

Ini merupakan kali pertama Dr. Connolly ditahan sepanjang penglibatannya dalam misi laut berperingkat itu. Sebelum ini, beliau berjaya mengelak daripada ditahan ketika tentera Israel memintas fasa pertama konvoi berhampiran pantai Crete, Greece pada 29 dan 30 April lalu, yang menyaksikan lebih 200 aktivis ditahan.

Sebelum pelayaran terbaru itu bermula, Dr. Connolly ketika ditanya media mengenai risiko dan keadaan sukar sepanjang misi berkenaan berkata, penderitaan yang dialami mereka “tidak seberapa berbanding apa yang dilakukan terhadap rakyat Palestin”.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mempertahankan tindakan tenteranya dengan menyifatkan operasi memintas flotila itu sebagai langkah keselamatan negara.

Menurut Netanyahu, operasi tersebut berjaya menggagalkan cubaan yang didakwa bertujuan memecahkan sekatan terhadap Hamas di Gaza.

Baca juga:

Bagaimanapun, tindakan Israel itu menerima kecaman hebat di Dublin. Jurucakap delegasi Ireland, Karen Moynihan, mengkritik tindakan tentera Israel selain menyifatkan reaksi kerajaan Ireland terhadap insiden berkenaan sebagai lemah.

“Tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap Israel. Sedangkan mereka ini belayar secara sah dalam misi kemanusiaan tetapi ditahan seperti penculik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Hal Ehwal Luar Ireland memaklumkan pihaknya sedang memantau situasi berkenaan dan berusaha memberikan bantuan konsular kepada semua rakyat Ireland yang ditahan.

Presiden Catherine Connolly ketika ini berada di United Kingdom bagi lawatan rasmi negara dan dijadual mengadakan pertemuan dengan King Charles III. Beliau melahirkan kebimbangan dengan nasib adiknya.

Sumber: Roya News

Related Posts