Tular minyak masak paket Malaysia banyak dijual di Narathiwat, cetus persoalan | The Reporter

Tular minyak masak paket Malaysia banyak dijual di Narathiwat, cetus persoalan

Minyak masak paket Malaysia yang didakwa dijual di sebuah kedai di Narathiwat, Thailand.
Minyak masak paket Malaysia yang didakwa dijual di sebuah kedai di Narathiwat, Thailand.

Penemuan minyak masak paket bersubsidi keluaran Malaysia yang didakwa dijual di beberapa kedai di Narathiwat, Thailand mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai bagaimana barangan berkenaan boleh berada di negara jiran.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads, Hafeez Boh menerusi beberapa rakaman video ketika berkunjung ke sebuah pasar di Narathiwat baru-baru ini.

Menurutnya, dia pada mulanya menemukan minyak masak paket buatan Malaysia sebelum menyedari barangan berkenaan bukan hanya terdapat di sebuah premis.

“Masa kami jalan-jalan di pasar Narathiwat, kami terjumpa minyak masak paket buatan Malaysia. Yang ini memang kita eksport secara rasmi atau hasil penyeludupan?

“Saya jadi keliru sebab terlalu banyak. Ini saya rakam dua kedai saja. Stok sana mewah. Jauh lagi mewah dari tempat kita. Setiap 15 langkah ada orang jual,” tulisnya.

Selain minyak masak paket, Hafeez mendakwa turut menemukan gula berjenama Prai yang berasal dari Malaysia dijual di kawasan berkenaan.

Perkongsian itu kemudian mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang antaranya mempersoalkan kemungkinan berlaku ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi ke negara jiran.

Antara minyak paket yang ditemukan di pasar Narathiwat

Minyak paket subsidi kerajaan

Untuk rekod, minyak masak sawit tulen dalam bungkusan polibeg satu kilogram merupakan produk di bawah skim subsidi kerajaan bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapatkannya pada harga terkawal. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut menggunakan sistem eCOSS bagi memantau rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi dari peringkat pengilang sehingga pengguna.

Malah, pembelian di peringkat pengguna kini turut direkodkan menerusi aplikasi Mobile eCOSS. Pengguna boleh mengimbas kod QR yang disediakan peruncit bagi merekodkan transaksi pembelian minyak masak paket berkenaan, manakala kaedah manual masih dibenarkan bagi keadaan tertentu termasuk pengguna warga emas yang tidak mempunyai telefon pintar.

Kerajaan sebelum ini menjelaskan penggunaan sistem tersebut antara lain bertujuan mengekang ketirisan subsidi, selain memastikan minyak masak paket bersubsidi sampai kepada golongan yang layak.

Sejak 1 Mac 2026, penjualan dan pembelian minyak masak paket bersubsidi satu kilogram kepada bukan warganegara turut dilarang, sekali gus memperketat kawalan terhadap penggunaan barangan berkenaan.

Related Posts