Trump arah penggunaan istilah ‘Super Intelligence’ ganti AI dalam kerajaan AS | The Reporter

Trump arah penggunaan istilah ‘Super Intelligence’ ganti AI dalam kerajaan AS

Donald Trump umum penggunaan istilah Super Intelligence menggantikan AI dalam kerajaan AS
Donald Trump umum penggunaan istilah Super Intelligence menggantikan AI dalam kerajaan AS

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani Perintah Eksekutif yang mengarahkan penggunaan istilah ‘Super Intelligence’ (SI) bagi menggantikan ‘Artificial Intelligence’ (AI) dalam cabang eksekutif kerajaan persekutuan.

Perintah bertajuk Inaugurating the Era of Super Intelligence itu diumumkan White House pada Selasa, dengan pentadbiran Trump berpandangan istilah baharu berkenaan lebih tepat menggambarkan perkembangan pesat serta keupayaan teknologi berkenaan.

Menurut perintah tersebut, teknologi masa kini dilihat bukan lagi sekadar meniru atau mengautomasikan aspek tertentu kecerdasan manusia, sebaliknya semakin membantu meningkatkan keupayaan manusia dan membuka ruang baharu dalam bidang termasuk sains serta perubatan.

Susulan arahan itu, jabatan dan agensi di bawah cabang eksekutif kerajaan persekutuan AS perlu menggunakan istilah ‘Super Intelligence’ dan singkatan ‘SI’ bagi menggantikan ‘Artificial Intelligence’ serta AI dalam surat-menyurat rasmi, komunikasi awam, laman web, laporan, dokumen dasar dan dokumen bukan statutori lain, setakat yang dibenarkan undang-undang.

Bagaimanapun, perubahan tersebut tidak mewajibkan pindaan terhadap peraturan, tindakan presiden, kontrak, geran atau dokumen sejarah yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Perubahan bawa impak

Buat masa ini, istilah SI dalam perintah berkenaan masih merujuk kepada teknologi dan sistem yang termasuk dalam definisi AI sedia ada di bawah undang-undang persekutuan AS. Trump turut memberikan tempoh 60 hari kepada Penolong Presiden bagi Sains dan Teknologi untuk mengemukakan cadangan perundangan bagi mewujudkan definisi persekutuan khusus untuk ‘Super Intelligence’ dan ‘SI’.

Perintah itu dikeluarkan selepas Trump mengadakan pertemuan di White House bersama beberapa pemimpin utama industri teknologi termasuk Elon Musk, Mark Zuckerberg, Sundar Pichai dan Jensen Huang. Dalam pertemuan tersebut, Trump menyifatkan perkembangan teknologi berkenaan sebagai sesuatu yang berpotensi memberi impak lebih besar berbanding Internet.

Menerusi hantaran rasmi White House, pengumuman tersebut turut diketengahkan dengan frasa ‘Official. INAUGURATING THE ERA OF SUPER INTELLIGENCE’, sekali gus menandakan langkah pentadbiran AS menggunakan istilah SI dalam urusan rasminya.

Related Posts