Tindakan seorang lelaki menjadikan jalan raya yang dilanda banjir sebagai lokasi melakukan aksi jet ski membawa padah apabila dia dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Thailand.
Lelaki berusia 27 tahun itu melakukan aksi berkenaan di Jalan New Phetchaburi, Bangkok pada Ahad, ketika beberapa kawasan di ibu negara Thailand masih dinaiki air susulan hujan lebat.
Rakaman yang tular di media sosial memaparkan lelaki terbabit memecut dan membuat beberapa pusingan menggunakan jet ski sehingga menghasilkan ombak yang menghala ke kediaman, laluan pejalan kaki serta struktur di tepi jalan.
Baca juga:
- Buat aksi jet ski di jalan banjir Bangkok, lelaki didakwa cetus gangguan awam
- Ireland benam Israel 3-0, enggan berjabat tangan sebelum aksi
- Pengulas ‘alih perhatian’, gelagat wanita dukung anak bawa makanan curi tumpuan
Susulan kejadian itu, polis Makkasan mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan atas kesalahan menyebabkan gangguan awam, selain jet ski yang digunakan turut dirampas.
Rakannya yang merakam aksi tersebut juga berdepan tindakan kerana didakwa membantu perbuatan berkenaan.
Menurut laporan South China Morning Post, mahkamah pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara 15 hari yang ditangguhkan terhadap lelaki terbabit selain mengenakan denda. Jet ski yang dirampas turut diperintahkan untuk dilucutkan.









