Sebuah batu biasa di kawasan tanah tinggi Trabzon, Turkiye, mencuri perhatian ramai selepas pernah menjadi tempat bintang bola sepak Mesir, Mohamed Salah duduk untuk bergambar.
Batu yang terletak di Dataran Tinggi Kurtdere, daerah Maçka itu kini menjadi lokasi persinggahan popular apabila pengunjung sanggup beratur untuk merakam gambar pada kedudukan sama seperti Salah.
Fenomena tersebut tercetus selepas pemain berkenaan berkongsi beberapa gambar daripada kunjungannya ke kawasan itu menerusi media sosial. Salah dilaporkan turut melawat Biara Sümela ketika menikmati hari cutinya di Trabzon.
Sejak gambar berkenaan tersebar, peminat bola sepak dan pelancong mula mencari batu tersebut sebelum meniru gaya Salah duduk di atasnya.
Baca juga:
- Batu tempat Mohamed Salah bergambar kini jadi tarikan pelancong
- Itali cadang larang burqa dan niqab di sekolah
- ‘Kalau mahu mati, baliklah ke negara sendiri’ – PM Thailand
Batu itu kemudian diberi gelaran ‘Salah Kayası’ atau ‘Salahtaşı’ oleh pengunjung, yang membawa maksud ‘Batu Salah’. Malah, sebuah papan tanda bertulis ‘Salah Yaylası’ turut dipasang berhampiran lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, papan tanda itu dilaporkan dipasang oleh sekumpulan pencipta kandungan sukan dan bukannya menandakan pertukaran nama rasmi Dataran Tinggi Kurtdere.
Kunjungan Salah secara tidak langsung meningkatkan perhatian terhadap kawasan berkenaan apabila pelancong tempatan dan asing mula datang untuk bergambar serta menikmati keindahan alam semula jadinya.









