Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan bakal menghentikan bekalan diesel kepada lebih 20 hospital dan pusat kesihatan di Gaza bermula 19 September ini susulan kekurangan dana.
Memetik laporan Anadolu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh berkata, langkah itu berlaku ketika kemudahan kesihatan di wilayah berkenaan berdepan kekurangan kritikal bahan api dan minyak yang diperlukan bagi memastikan operasi terus berjalan.
Menurutnya, jumlah bahan api yang memasuki Gaza ketika ini amat terhad dan sekadar mampu memastikan kemudahan kesihatan terus beroperasi pada tahap minimum.
Beliau memberi amaran penghentian bekalan diesel bukan sahaja boleh menyebabkan generator terhenti, malah mengakibatkan bilik pembedahan dan Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak dapat beroperasi.
Keadaan itu juga dikhuatiri menjejaskan penggunaan alat bantuan pernafasan dan stesen oksigen selain mengancam nyawa bayi dalam inkubator, pesakit dialisis, mangsa cedera serta mereka yang menghidap penyakit kronik.
Krisis berkenaan turut berpotensi melumpuhkan operasi ambulans serta sistem rantaian sejuk yang diperlukan bagi penyimpanan ubat-ubatan dan vaksin.
Al-Bursh turut menyeru WHO, negara penderma dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi memastikan bekalan bahan api dan minyak mencukupi serta dapat disalurkan secara berterusan kepada semua kemudahan kesihatan.
Baca juga:
- WHO dilapor bakal henti bekalan diesel ke lebih 20 hospital, pusat kesihatan Gaza
- Prabowo gugurkan Purbaya, lantik Suahasil sebagai Menteri Kewangan baharu
- Terbuang air besar ketika perlumbaan, atlet HYROX tetap habiskan saingan
Dalam perkembangan berkaitan, Al Jazeera melaporkan Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran mengenai ancaman bencana kemanusiaan terhadap sistem kesihatan susulan penghentian bekalan bahan api kepada 13 institusi kesihatan bukan kerajaan.
Krisis itu berlaku ketika beberapa generator elektrik di hospital Gaza dilaporkan sudah berhenti beroperasi akibat kekurangan minyak, alat ganti dan bekalan bahan api.
Generator menjadi sumber utama tenaga elektrik untuk hospital di Gaza bagi memastikan jabatan kritikal dan peralatan perubatan terus berfungsi susulan gangguan bekalan elektrik di wilayah itu.
Reuters sebelum ini turut melaporkan hospital di Gaza terpaksa mencatu penggunaan elektrik antara bangunan berikutan kekurangan minyak enjin, bahan api dan alat ganti yang memberi tekanan kepada operasi generator.
Sumber: Anadolu, Al Jazeera, Reuters









