Selepas disahkan menghidap kanser hati tahap akhir dan diberi tempoh kira-kira enam bulan untuk hidup, perkara pertama yang difikirkan Jeon Gyeong-cheol bukanlah tentang dirinya, sebaliknya masa depan anak lelakinya yang mengalami autisme.
Jeon, yang digelar ‘Peter Pan Dad’, menghabiskan lebih dua dekad membesarkan anaknya, Je-won, seorang lelaki berusia 26 tahun yang didiagnosis mengalami autisme teruk sejak 2007.
Selepas bercerai, Jeon membesarkan anaknya seorang diri. Dia menggelarkan Je-won sebagai ‘Peter Pan’ kerana anaknya mempunyai usia mental sekitar dua tahun dan dianggap seperti watak Peter Pan yang tidak pernah membesar.
Namun, apabila doktor memberitahu dia menghidap kanser hati tahap akhir pada April tahun lalu, kebimbangan terbesar Jeon adalah siapa yang akan menjaga anaknya selepas dia tiada.
1,000 pusat penjagaan dikunjung
Jeon kemudian memulakan pencarian ke seluruh negara bagi mendapatkan tempat perlindungan yang sesuai untuk Je-won. Lebih 1,000 kemudahan kebajikan dan penjagaan dikunjunginya, namun tiada satu pun pada awalnya sanggup menerima anaknya yang memerlukan penjagaan rapi.
Malah, Je-won pernah diterima masuk ke sebuah kemudahan sebelum kemudiannya dikeluarkan. Keadaan itu menyebabkan Jeon terus berusaha mencari penyelesaian, walaupun kesihatannya semakin merosot.
Perjalanan tersebut kemudiannya direkodkan Jeon menerusi platform penulisan Brunch. Kisahnya mendapat perhatian masyarakat selepas dipaparkan dalam program televisyen, sekali gus mencetuskan sokongan dan sumbangan daripada orang ramai.
Baca juga:
- Diberi masa 6 bulan untuk hidup, bapa habiskan sisa waktu cari tempat anak autisme
- Ratusan rakyat Thailand berhimpun bantah isu pemilikan tanah warga Israel
- Rakyat Korea Selatan bantah misi Selat Hormuz
Susulan tular, Je-won akhirnya mendapat tempat di sebuah komuniti yang menyediakan kemudahan dan sokongan untuk individu dewasa dengan kecacatan perkembangan yang sangat serius di Chungbuk.
Apa yang lebih menyentuh hati, Jeon sebenarnya mampu bertahan lebih lama daripada jangkaan awal doktor. Dia bukan sahaja memastikan anaknya mempunyai tempat untuk tinggal selepas pemergiannya, malah terus berusaha membantu keluarga lain yang berdepan masalah sama.
Terbit buku berjudul Hello, Peter Pan
Jeon turut menerbitkan kisah kehidupannya dalam bentuk esei berjudul Hello, Peter Pan dan berusaha menubuhkan sebuah yayasan bagi membantu golongan dewasa dengan autisme teruk serta keluarga mereka.
Pada 5 September lalu, Jeon menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun selepas bertahun-tahun menjaga anaknya. Yonhap melaporkan bahawa sepanjang hidupnya, dia pernah menyifatkan Je-won sebagai insan yang menjadi ‘tali hayat’ yang membuatkannya terus bertahan.
Sebelum meninggal dunia, Jeon turut meninggalkan pesanan buat anaknya yang begitu dekat di hatinya. Katanya, lebih 20 tahun bersama Je-won merupakan kebahagiaan yang sangat besar buatnya sebagai seorang bapa.
Selepas pemergiannya, usaha yang dimulakan Jeon untuk membina komuniti kehidupan bagi golongan dewasa dengan kecacatan perkembangan turut diteruskan.
Lebih memilukan, Jeon akhirnya disemadikan berhampiran tempat anaknya tinggal. Menurut MBC, lokasi itu dipilih supaya dia seolah-olah masih dapat berada dekat dengan Je-won dan mendengar langkah kaki serta suara anaknya.
Sumber: Yonhap News, SBS News, Korea Times.









