'Tuduhan anjing liar milik datuk Haira berat'- Malaysia Animal Association | The Reporter

‘Tuduhan anjing liar milik datuk Haira berat’- Malaysia Animal Association

Malaysia Animal Association persoal dakwaan anjing yang menyerang Nur Haira milik datuk mangsa
Gambar hiasan/ janaan Ai

Baru-baru ini tular dakwaan di media sosial bahawa lima anjing yang menyerang dan mencederakan Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi di Batu Pahat merupakan milik datuk mangsa.

Bagaimanapun, keluarga Nur Haira menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan bahawa anjing terbabit bukan milik datuk atau keluarga mangsa.

Menurut Malaysia Animal Association, dakwaan mengenai pemilikan lima anjing berkenaan merupakan perkara serius kerana ia boleh menimbulkan persepsi seolah-olah mangsa atau keluarganya mempunyai kaitan dengan anjing yang terlibat dalam serangan tersebut.

Baca juga:

Persatuan itu berkata, pihak yang membuat dakwaan mengenai pemilikan anjing berkenaan wajar mengemukakan bukti atau membuat laporan rasmi kepada polis supaya perkara tersebut dapat disiasat dan disahkan.

Menurutnya, pengesahan mengenai pemilikan anjing perlu dibuat berdasarkan bukti yang kukuh sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil terhadap mana-mana pihak.

“Dalam prinsip penyiasatan, unsur mengesyaki adalah satu hal yang membolehkan siasatan. Namun dalam prinsip keadilan pula, bukti kukuh adalah asas untuk tindakan perundangan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Animal Association turut mendakwa dakwaan mengenai pemilikan anjing berkenaan tidak dibuat berdasarkan pengakuan daripada pemilik, sebaliknya berpunca daripada dakwaan dan komen yang tersebar di media sosial.

Dalam pada itu, persatuan berkenaan turut mempersoalkan status sebuah NGO yang didakwa terlibat dalam menyebarkan dakwaan tersebut, termasuk berkaitan lesen PBT serta kebenaran menjalankan operasi pusat perlindungan haiwan.

Malaysia Animal Association menegaskan semua pihak perlu mengelakkan penyebaran dakwaan tanpa bukti serta tidak meletakkan kesalahan terhadap mangsa, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Related Posts