Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan seorang warga Perancis yang juga pemilik bersama sebuah taman haiwan di Koh Samui dihantar pulang dari negara itu susulan pertikaian dengan seorang warga Israel.
Arahan terhadap Kevin Dimino, pemilik taman berkenaan, ditandatangani Anutin yang juga Menteri Dalam Negeri Thailand pada 7 September lalu. Tindakan itu dibuat beberapa hari selepas kerajaan Thailand mengeluarkan arahan pengusiran terhadap seorang warga Israel yang turut terbabit dalam pertikaian berkenaan.
Pertikaian tersebut bermula selepas sebuah keluarga warga Israel didakwa tidak dibenarkan memasuki kawasan zoo yang terletak di Koh Samui, pada 12 Ogos. Video kejadian yang dimuat naik ke media sosial kemudian mencetuskan perhatian ramai.
Menurut laporan Khaosod English, taman berkenaan kemudiannya memaparkan bendera Palestin dan papan tanda yang mengalu-alukan rakyat Palestin, manakala kemasukan warga Israel turut dilarang. Tindakan itu mencetuskan pertikaian antara Dimino dan seorang ahli perniagaan Israel dikenali sebagai Yaacov Ohayon.
Konflik tersebut kemudian berkembang kepada pertikaian di media sosial serta dakwaan ugutan dan konfrontasi fizikal. Pihak berkuasa Thailand turut mengambil tindakan susulan selepas isu berkenaan dikhuatiri menjejaskan ketenteraman awam dan imej pelancongan di Koh Samui.
Dalam kes Dimino, arahan pengusiran itu antara lain menyebut dakwaan berkaitan ugutan, gangguan, serangan fizikal serta tingkah laku yang dianggap boleh mencetuskan perpecahan berasaskan kaum dan agama. Beliau juga mempunyai satu rekod sabitan berkaitan Akta Trafik Darat Thailand.
Mahkamah Wilayah Koh Samui sebelum ini menjatuhkan denda 10,000 baht terhadap Dimino, namun jumlah itu dikurangkan kepada 5,000 baht selepas dia mengaku bersalah. Kes mahkamah tersebut adalah berasingan daripada tindakan pentadbiran kerajaan untuk mengusirnya dari Thailand.
Baca juga:
- PM Thailand arah warga Perancis dihantar pulang selepas larang warga Israel masuk zoo
- BKSDA Kalimantan Barat sahkan kematian Orang Utan
- Orang utan pengsan akibat asap kebakaran hutan diselamatkan di Kalimantan Barat
Sementara itu, Ohayon telah terlebih dahulu dikenakan arahan pengusiran oleh Anutin pada 5 September selepas disabitkan kesalahan mengugut sehingga menyebabkan seseorang berasa takut atau cemas.
Ohayon pada asalnya dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda 10,000 baht, tetapi selepas pengakuan bersalah, hukuman dikurangkan kepada penjara 15 hari yang ditangguhkan selama dua tahun serta denda 5,000 baht.
Menurut Thai Examiner, Ohayon kini berada dalam tahanan polis di Koh Samui sementara menunggu proses pengusiran, manakala Dimino pula belum ditemui pihak imigresen untuk menerima notis rasmi berhubung arahan tersebut. Kedua-duanya belum disahkan telah meninggalkan Thailand secara fizikal.
Kedua-dua lelaki itu mempunyai tempoh tujuh hari selepas menerima notis pengusiran untuk mengemukakan rayuan kepada Perdana Menteri Thailand. Anutin sebelum ini menegaskan undang-undang baharu mengenai pengusiran warga asing akan dikuatkuasakan terhadap mereka yang dianggap melakukan kelakuan tidak wajar.









