Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang membuat laporan polis susulan dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai usaha Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia sebelum 2018.
Menurut Fadhli, dakwaan berkenaan telah dinafikan oleh Kedutaan AS di Malaysia, sekali gus menyifatkan perkara itu sebagai pertikaian antara dua pihak yang sepatutnya boleh diselesaikan melalui saluran undang-undang.
Beliau berkata, terdapat kaedah perundangan yang boleh digunakan sekiranya pihak yang didakwa berasa tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut, termasuk melalui tindakan saman sivil.
Namun, Fadhli mempersoalkan mengapa PH dilihat begitu terkesan dengan isu berkenaan sehingga mengambil tindakan membuat laporan polis.
“Apa yang menghairankan kenapa tiba-tiba Pakatan Harapan melatah? Apa kepentingan mereka dalam isu ini?” katanya.
Baca juga:
- Operasi besar-besaran buru anjing liar susulan kanak-kanak diserang
- ‘Saya nampak dengan mata sendiri, darah cik’ -Abang mangsa serangan anjing
- ‘Pejabat PAS bukan imigresen akhirat untuk dapat visa syurga’- Mahfuz Omar
Beliau turut mempersoalkan sama ada kenyataan Abdul Hadi itu ada mengaitkan mana-mana pihak dalam PH dengan dakwaan campur tangan AS berkenaan.
“Adakah Presiden PAS mengaitkan mana-mana pihak dari Pakatan Harapan dalam isu ini? Tidak sekali-kali,” katanya.
Sehubungan itu, Fadhli meminta PH menjelaskan sebab mereka mengambil tindakan berkenaan dan mempersoalkan sama ada reaksi tersebut mempunyai kaitan dengan dakwaan yang dibangkitkan Abdul Hadi.
“Jadi, kenapa mereka melatah? Atau mereka sebenarnya yang ada kaitan?” katanya.








