Wanita ditahan bantu siasatan kes kanak-kanak dikasari di taska | The Reporter

Wanita ditahan bantu siasatan kes kanak-kanak dikasari di taska

Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kes kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan disyaki dikasari di sebuah taska di Bukit Setongkol, Kuantan.
Gambar janaan AI berdasarkan tangkap layar video tular.

Polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki dikasari di sebuah taska di kawasan Bukit Setongkol, Kuatan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada 6 September 2026, kira-kira jam 10.34 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 11 Ogos 2026.

Rakaman video yang tular di media sosial itu memaparkan mangsa berusia dua tahun lapan bulan dimarahi, ditarik rambut serta digoncang kepalanya oleh seorang wanita yang dipercayai kakitangan taska terbabit.

Susulan laporan tersebut, polis menjalankan siasatan lanjut sebelum menahan wanita berkenaan bagi membantu siasatan.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kecederaan fizikal serius dilaporkan terhadap mangsa.

Kenyataan dari Polis Kuantan
Baca juga:

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menyebarkan video atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa memandangkan kes berkenaan membabitkan kanak-kanak.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-565 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Related Posts