Terengganu menerima dua ‘tetamu’ istimewa apabila penyu belimbing atau ‘Raja Penyu’ kembali mendarat di pantai negeri itu selepas hampir sembilan tahun, manakala gajah liar jantan, Sulong Chalil, dipindahkan ke habitat baharu yang lebih selamat.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyu belimbing dipercayai mendarat dan bertelur di Pantai Gong Balai, Marang pada 1 September lalu.
Beliau berkata, sebanyak 44 biji telur ditemukan sebelum dipindahkan dengan selamat ke pusat penetasan di Rantau Abang.
Kehadiran semula spesies berkenaan berlaku selepas hampir sembilan tahun tidak direkodkan mendarat di Terengganu.
Dalam perkembangan sama, Terengganu turut menerima ‘tetamu’ istimewa apabila Sulong Chalil, gajah liar jantan yang sebelum ini berkeliaran di sekitar Jalan Raya Timur-Barat, dipindahkan ke Taman Negara Terengganu.
Baca juga:
- Luahan isteri Loe Solo sempena ulang tahun perkahwinan ke-10
- Terengganu terima dua tetamu istimewa, ‘Raja Penyu’ dan Sulong Chalil
- Video tular dua kanak-kanak duduk atas MPV bergerak, polis kesan pemilik
Menurut Ahmad Samsuri, pemindahan itu dilakukan melalui pintu masuk Tasik Kenyir bagi membolehkan gajah berkenaan mendapatkan habitat yang lebih selamat dan sesuai.
Beliau berkata, kedua-dua perkembangan itu menunjukkan Terengganu bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semula jadi, malah menjadi kawasan penting bagi kelangsungan hidup dan perlindungan hidupan liar.
“Semoga Raja Penyu terus kembali ke pantai kita dan Sulong Chalil pula dapat menikmati kehidupan yang lebih aman di habitat baharunya,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, alam semula jadi bukan milik manusia semata-mata, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dipelihara supaya generasi akan datang masih dapat melihat sendiri khazanah yang sama.
Beliau turut mengalu-alukan kepulangan ‘Raja Penyu’ ke pantai Terengganu serta perpindahan Sulong Chalil ke habitat baharunya dengan harapan kedua-duanya dapat terus hidup dalam persekitaran yang lebih selamat.









