Isu kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan diselesaikan segera dengan penghantaran baki bekalan dijadualkan bermula hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penghantaran baki bekalan itu dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 10 hari.
Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau mengemukakan surat kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Ogos lalu bagi memohon supaya perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. bagi pembekalan tersebut ditamatkan susulan kelewatan yang berlaku.
Pada masa sama, beliau mencadangkan supaya Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd., anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), mengambil alih tanggungjawab menyelesaikan baki pembekalan Baja 3 kepada pesawah yang terjejas.
Mohamad berkata, Perdana Menteri telah bersetuju dengan permohonan berkenaan, sekali gus membolehkan penghantaran baki bekalan kepada pesawah terjejas dimulakan hari ini.
Baca juga:
- Sulong Chalil akhirnya ‘pulang’ ke habitat selamat
- Isu kelewatan Baja 3 MADA selesai, penghantaran baki bekalan bermula hari ini
- ‘Tidak pernah terlintas menimbulkan sebarang kontroversi’ – MIG mohon maaf
Beliau turut mengarahkan MADA supaya memantau proses penghantaran secara rapi sehingga bekalan benar-benar diterima oleh pesawah.
Katanya, tiada ruang untuk kelewatan berulang kerana Baja 3 merupakan keperluan asas dalam pengeluaran padi selain berkait rapat dengan sumber pendapatan pesawah.
Terdahulu, aktivis kemanusiaan dan wartawan veteran, Zainal Rashid atau ZRA, menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan bekalan Baja 3 di Kedah dan Perlis serta menggesa isu berkenaan diberi perhatian serius.
Beliau mendakwa masih ramai pesawah belum menerima bekalan baja walaupun tempoh pengagihan kecemasan telah berlangsung, selain menyatakan terdapat tanaman yang hampir memasuki tempoh tuaian. ZRA turut menyatakan kesediaan membantu pesawah sekiranya mereka memilih untuk membawa isu berkenaan ke mahkamah bagi mendapatkan penyelesaian melalui tindakan perundangan.









