Kegembiraan pasangan pengantin baru yang baru sahaja disatukan pada Ahad lalu bertukar duka apabila si suami maut dalam kemalangan jalan raya, hanya dua hari selepas mereka bergelar suami isteri.
Kisah menyayat hati itu dikongsikan seorang kenalan kepada isteri mangsa menerusi media sosial, memaklumkan mangsa dikenali sebagai Alif, manakala isterinya, Hanim, dilaporkan cedera parah dalam kemalangan berkenaan.
Menurut perkongsian itu, pasangan tersebut baru melangsungkan pernikahan pada 23 Ogos lalu sebelum berita kematian Alif diterima pada pagi 26 Ogos.
Rakan kepada Hanim turut memohon orang ramai agar menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat arwah serta mendoakan supaya Hanim diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk menghadapi ujian berat berkenaan.
Kisah itu menjadi lebih menyentuh apabila seorang jurukamera yang merakam majlis pernikahan dan persandingan pasangan tersebut turut berkongsi detik terakhir yang sempat dirakamnya bersama Alif dan Hanim.
Menurut jurukamera berkenaan, dia baru sahaja menjalankan penggambaran majlis pasangan itu di Melaka, sebelum dikejutkan dengan berita pemergian Alif akibat kemalangan.
Namun, satu momen ketika majlis akad nikah menjadi kenangan paling sukar dilupakan apabila Alif dilihat menitiskan air mata sejurus lafaz ijab dan kabul disahkan.
Baca juga:
- Dua pegawai bomba antara 55 rakyat Malaysia belum dapat dihubungi susulan banjir Nepal
- PKR Kedah gesa Sanusi berhenti salahkan Anwar dalam isu lesen judi
- Baru dua hari disatukan, isteri kehilangan suami dalam kemalangan
Tangisan itu bukan kerana kesedihan, sebaliknya tangisan bahagia seorang lelaki yang baru sahaja bergelar suami kepada Hanim.
“Part yang paling menyentuh hati” itu kini menjadi lebih bermakna apabila rakaman tersebut dikatakan antara kenangan terakhir Alif bersama isterinya.
“Part yang paling menyentuh hati Izzat ketika on record, Alif menangis selepas Ijab dan Qabul sah menjadi suami kepada Hanim. Waktu itu, tangisan bahagia seorang lelaki yang baru sahaja bergelar suami.
“Tak pernah terlintas, hanya dua hari selepas momen itu… tangisan dan senyuman yang Izzat rakam menjadi antara kenangan terakhir Alif bersama Hanim. Kini, video momen tersebutlah yang membuatkan kami semua menangis,” katanya.









