'Sungguh menyakitkan hati' - Ito Blues Gang persoal royalti diterima | The Reporter

‘Sungguh menyakitkan hati’ – Ito Blues Gang persoal royalti diterima

Ito Blues Gang meluahkan kekecewaan terhadap jumlah royalti yang diterima
Gambar: Facebook Ito Mohd

Penyanyi utama Blues Gang, Ito atau nama sebenarnya Mohd Arif, mempersoalkan jumlah royalti yang diterimanya selepas mendakwa hanya memperoleh kurang RM5,000 setahun daripada badan pengurusan hak cipta muzik.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Ito menjelaskan jumlah album dan lagu yang telah dirakamkan sepanjang penglibatannya sebagai penyanyi utama kumpulan berkenaan serta kerjaya solonya.

Menurutnya, beliau telah merakamkan 14 album bersama Blues Gang, selain tiga album solo bersama Life Records, tiga album solo bersama Rock Records, satu album solo bersama NSR dan satu album bersama Universal Records.

“Jadi jumlah 22 album. Ada 220 buah lagu dari Blues Gang dan solo,” katanya.

Ito berkata, kesemua lagu berkenaan masih berada di pasaran sehingga kini, malah kebanyakannya turut dimainkan di pusat karaoke di seluruh Malaysia.

Bagaimanapun, beliau meluahkan kekecewaan terhadap jumlah royalti yang diterima, yang disifatkannya sebagai sesuatu yang ‘sungguh menyakitkan hati’.

Baca juga:

Dalam ruangan komen pada hantaran tersebut, Ito kemudian memberikan perbandingan dengan seorang komposer yang menurutnya hanya mempunyai satu lagu hit dan menghasilkan kira-kira 10 lagu pada tempoh yang sama dengannya.

“Dia dapat lebih 15K setahun dari MACP, tapi gua hanya tak sampai 5K,” katanya.

Ito berkata, pada mulanya beliau menyangka jumlah royalti yang rendah itu mungkin disebabkan oleh kesan Reformasi 1998, termasuk dakwaannya bahawa lagu-lagu beliau pernah melalui tempoh ‘cold storage’ oleh RTM dan kurang dimainkan di corong radio seluruh negara ketika pentadbiran Barisan Nasional.

Namun, beliau mempersoalkan sama ada keadaan itu masih menjadi faktor pada masa kini.

Ito mencipta nama sebagai vokalis utama Blues Gang, kumpulan yang antara lain dikenali menerusi lagu Apo Nak Dikato dan menjadi antara kumpulan penting dalam perkembangan muzik blues serta rock tempatan.

Related Posts