'Perbuatan vandalisme rumah ibadat di Bukit Tinggi tidak boleh diterima - Young Syefura | The Reporter

‘Perbuatan vandalisme rumah ibadat di Bukit Tinggi tidak boleh diterima – Young Syefura

Young Syefura Othman mengulas isu vandalisme rumah ibadat di Bukit Tinggi, Bentong
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman. Gambar: Facebook Young Syefura.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, memandang serius kejadian vandalisme membabitkan patung dan struktur di sebuah rumah ibadat bukan Islam di Bukit Tinggi, Bentong.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, rumah ibadat berkenaan tidak mempunyai kelulusan pembinaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta tiada kelulusan aktiviti daripada Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Pahang.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mana-mana pihak melakukan kerosakan atau vandalisme terhadap rumah ibadat.

“Tindakan merosakkan mana-mana rumah ibadat atau perbuatan vandalisme tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perbuatan sedemikian merupakan tindakan melampau yang berpotensi menggugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat berbilang kaum, khususnya di Bentong.

Sehubungan itu, Young Syefura menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mengambil tindakan sendiri yang boleh mengganggu siasatan polis serta mencetuskan ketegangan awam.

Baca juga:

Beliau berkata, percaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan secara mendalam dan teliti bagi mengenal pasti serta menangkap pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Bulan Kebangsaan merupakan tempoh yang bermakna dan istimewa buat seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, kepelbagaian budaya, agama dan latar belakang merupakan antara kekuatan terbesar negara yang perlu terus dipelihara.

“Perpaduan yang kita nikmati hari ini perlu terus dijaga dengan sikap saling memahami dan mengelakkan sebarang anasir yang boleh memecah-belahkan,” katanya.

Related Posts