Altimet tegur Ridhuan Tee, jangan jadikan budaya bahan perpecahan | The Reporter

Altimet tegur Ridhuan Tee, jangan jadikan budaya bahan perpecahan

Altimet tegur Ridhuan Tee berhubung isu sepanduk Hungry Ghost Festival
Altimet tegur Ridhuan Tee berhubung isu sepanduk Hungry Ghost Festival

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet, menegur pendakwah Ridhuan Tee Abdullah berhubung isu sepanduk sambutan Hungry Ghost Festival yang dipersoalkan kerana tidak menggunakan Bahasa Melayu.

Altimet berkata, Hungry Ghost Festival atau Perayaan Hantu Lapar merupakan sebahagian daripada tradisi dan kebudayaan masyarakat Tionghoa yang telah diamalkan sejak turun-temurun.

Menurutnya, perayaan itu berkait dengan nilai mengenang leluhur, menghargai jasa generasi terdahulu serta melakukan kebajikan dan persembahan kepada roh yang dipercayai tidak mempunyai keluarga atau waris.

Beliau berkata, meskipun namanya diterjemahkan secara literal sebagai ‘Hungry Ghost’, tradisi berkenaan turut membawa nilai belas ihsan, keikhlasan, kemurahan hati serta mengingati mereka yang telah meninggal dunia.

Penggunaan bahasa

Mengulas isu penggunaan bahasa pada sepanduk, Altimet berkata konteks dan tujuan sesuatu bahan komunikasi perlu diambil kira, terutama jika bahan berkenaan ditujukan khusus kepada komuniti tertentu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sekiranya sepanduk atau bahan promosi dipasang di ruang awam dan tertakluk kepada peraturan pihak berkuasa tempatan, segala garis panduan berkaitan penggunaan Bahasa Melayu perlu dipatuhi.

Sehubungan itu, Altimet berkata beliau selaku ADUN Lembah Jaya telah meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan sekiranya terdapat syarat yang tidak dipenuhi dan tindakan berkenaan telah pun diambil.

Baca juga:

Pada masa sama, beliau menegaskan kepentingan menghormati Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tanpa menafikan hak setiap masyarakat untuk mengamalkan adat, budaya dan perayaan masing-masing.

Jangan jadikan perbezaan budaya sebagai konflik perkauman

Altimet turut menegur Ridhuan Tee Abdullah supaya tidak menjadikan isu kebudayaan seperti itu sebagai bahan untuk mencetuskan kecurigaan atau ketegangan antara masyarakat.

Menurutnya, sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap garis panduan pihak berkuasa tempatan, perkara tersebut boleh diperbetulkan tanpa perlu menjadikannya sebagai konflik perkauman.

Beliau berkata Malaysia memerlukan lebih ramai pihak yang menyelesaikan masalah, bukannya membesarkan perbezaan demi mendapatkan perhatian dan trafik media sosial.

“Jangan kerana satu sepanduk, kita rosakkan keharmonian yang dibina masyarakat Ampang yang telah kukuh puluhan tahun,” katanya.

Altimet menegaskan bahawa masyarakat perlu menghormati Bahasa Kebangsaan, meraikan kebudayaan setiap kaum dan pada masa sama mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Perbezaan jangan dijadikan senjata. Malaysia cukup besar untuk kita hidup sambil saling menghormati satu sama lain,” katanya.

Related Posts