Kumpulan hak asasi haiwan gesa MBS hentikan program serah anjing terbiar | The Reporter

Kumpulan hak asasi haiwan gesa MBS hentikan program serah anjing terbiar

Program insentif penyerahan anjing terbiar oleh Majlis Bandaraya Seremban ditentang.
Gambar hiasan

Kumpulan hak asasi haiwan, Lawyers for Animal Rights menggesa Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menghentikan program pemberian insentif bagi penyerahan anjing terbiar yang menawarkan bayaran tunai kepada orang awam, atas kebimbangan ia boleh mengundang risiko terhadap keselamatan.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, berkata pemberian RM50 bagi setiap anjing dewasa dan RM25 bagi anak anjing dikhuatiri mendorong orang awam menangkap haiwan berkenaan sendiri.

Menurut mereka, garis panduan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menetapkan aktiviti menangkap haiwan berisiko tinggi perlu dilakukan oleh petugas terlatih.

Mereka turut mempersoalkan penggunaan Borang SA 02 yang menghendaki pemohon menerima tanggungjawab terhadap sebarang kecederaan atau risiko sepanjang proses menangkap anjing.

Katanya, MBS didakwa menyedari risiko berkenaan, namun tanggungjawab menangkap haiwan itu tetap diserahkan kepada orang awam, bukannya petugas terlatih.

Kumpulan itu juga bimbang kelemahan dalam pengesahan pemilikan boleh membuka ruang kepada anjing peliharaan diculik atau dicuri sebelum diserahkan sebagai anjing terbiar untuk mendapatkan insentif. Mereka mempersoalkan sama ada pemeriksaan mikrocip, semakan laporan kehilangan dan pengesahan pemilikan dilakukan sebelum haiwan diterima.

Baca juga:

Sehubungan itu, Lawyers for Animal Rights menggesa DVS dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyiasat pelaksanaan program tersebut, termasuk pihak yang meluluskannya.

Terdahulu, MBS memaklumkan program berkenaan bermula 24 Ogos ini sebagai usaha mengawal populasi anjing terbiar serta meningkatkan kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti. Insentif RM50 diberikan bagi anjing dewasa, manakala RM25 bagi anak anjing berusia bawah enam bulan, tertakluk kepada syarat ditetapkan MBS.

Related Posts