Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa kesal terhadap dakwaan dibuat Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan parti itu menghalang usaha penyatuan Melayu.
Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin menegaskan Bersatu tidak meninggalkan Perikatan Nasional (PN) secara sukarela, sebaliknya mendakwa hak parti itu sebagai anggota serta parti pengasas gabungan berkenaan telah dinafikan.
Beliau mendakwa rundingan pembahagian kerusi pilihan raya bersama Bersatu tidak diteruskan dan dihentikan atas alasan yang tidak munasabah.
“Bersatu juga tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang memuktamadkan pembahagian kerusi parti-parti anggota Perikatan Nasional.
“Jadi, mengapa Bersatu dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuarat pun tidak dijemput?” katanya.
Isu rundingan dengan BN
Muhyiddin berkata, beliau tidak mempersoalkan rundingan PN dengan Barisan Nasional (BN), namun perkara membabitkan dasar sepatutnya dibawa terlebih dahulu ke Majlis Tertinggi PN.
Menurutnya, rundingan dibuat tanpa melibatkan semua parti anggota dan tanpa mandat Majlis Tertinggi sebelum keputusan kerjasama dibentangkan kepada badan berkenaan.
“Ini cara yang songsang,” katanya.
Beliau turut mendakwa sepanjang menerajui PN selama lima tahun, beliau tidak pernah mengetepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan, termasuk berkaitan dasar gabungan dan pembahagian kerusi pilihan raya.
Tolak Dakwaan Halang Penyatuan Melayu
Mengulas tuduhan bahawa Bersatu menghalang penyatuan Melayu, Muhyiddin menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata perjuangannya terhadap penyatuan Melayu tidak pernah berubah sejak menubuhkan Bersatu sebagai parti pribumi Melayu.
Katanya, pada peringkat awal penubuhan PN, beliau mencadangkan gabungan itu menjadi sebuah parti induk yang menghimpunkan parti-parti Melayu termasuk UMNO serta parti pelbagai kaum lain.
Namun, Muhyiddin mendakwa UMNO ketika itu menolak untuk menyertai PN dan tidak mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan PN, walaupun beberapa Ahli Parlimennya menyokong kerajaan tersebut.
Baca juga:
- Muhyiddin kesal Annuar Musa tuduh Bersatu halang penyatuan Melayu
- ‘Aminuddin Harun poster boy dan panglima perang PH di Negeri Sembilan’ – Anthony Loke
- ‘DAP dalam kerajaan Melaka umpama ‘bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak’
Beliau turut mendakwa Ahli Parlimen UMNO ketika itu berusaha menjatuhkan kerajaan PN yang dipimpin parti Melayu.
“Malah hari ini mereka sedang melakukan perkara sama kepada Kerajaan Perpaduan yang mereka sendiri tubuhkan bersama-sama Pakatan Harapan,” katanya.
Muhyiddin berkata, keputusan PN yang diterajui PAS untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO menyebabkan Bersatu diketepikan daripada gabungan berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu bukan penyatuan Melayu sebenar, sebaliknya hanya penjajaran semula kuasa politik.
Bagaimanapun, beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada PN dan menegaskan Bersatu tidak akan berpatah balik.
“Bersatu tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya demi Malaysia dan seluruh rakyatnya,” katanya.









