Kes hak cipta plat MADANI: Mahkamah arah JPJ bayar RM40,000 kepada Hasan Azhari | The Reporter

Kes hak cipta plat MADANI: Mahkamah arah JPJ bayar RM40,000 kepada Hasan Azhari

Kereta dengan nombor pendaftaran khas MADANI yang berkaitan kes hak cipta melibatkan JPJ di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Gambar janaan AI

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertanggungjawab terhadap pelanggaran hak cipta membabitkan penggunaan bahan promosi bagi program bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas MADANI.

Menurut laporan Sinar Harian, Hakim Datuk MM Edwin Paramjothy dalam penghakiman pada Selasa memutuskan Pengarah Program Ilham Madani Sdn Bhd, Hasan Azhari Hashim selaku plaintif diberikan ganti rugi statutori dan tambahan berjumlah RM40,000 serta kos sebanyak RM25,000.

Tindakan sivil itu difailkan pada 15 Januari 2025 selepas Hasan Azhari mendakwa karya seni promosi berhak cipta miliknya digunakan tanpa kebenaran ketika pelancaran program bidaan nombor pendaftaran khas MADANI oleh kerajaan.

Peguam plaintif, Rajesh Nagarajan berkata, sebelum pelaksanaan program itu, anak guamnya telah menghasilkan cadangan plat nombor pendaftaran khas MADANI serta mendaftarkan karya bertajuk ‘Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri MADANI 1 sehingga MADANI 9999 Untuk Didaftarkan Di Malaysia’ dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Beliau berkata, cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada kerajaan beberapa kali namun ditolak atas pertimbangan dasar. Bagaimanapun, kerajaan kemudiannya meneruskan program bidaan awam siri MADANI yang didakwa menggunakan bahan promosi berhak cipta milik Hasan Azhari tanpa kebenaran.

Baca juga:

Terdahulu, Hasan Azhari mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada kerajaan untuk mendapatkan ganti rugi RM1.3 juta berhubung dakwaan pelanggaran harta intelek itu. Program bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI yang berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober 2024 pula dilaporkan berjaya merekodkan kutipan RM2.62 juta dengan penyertaan 5,632 pembida.

Mengulas keputusan tersebut, Rajesh berkata, penghakiman itu membuktikan hak harta intelek tetap dilindungi walaupun pihak yang didakwa melakukan pelanggaran merupakan pihak berkuasa awam. Menurutnya, anak guamnya tidak berniat menghalang kerajaan melaksanakan inisiatif untuk rakyat, sebaliknya hanya menuntut pengiktirafan terhadap karya kreatif yang dilindungi undang-undang.

Defendan mempunyai tempoh satu bulan daripada tarikh penghakiman untuk memfailkan rayuan sekiranya berhasrat berbuat demikian.

Related Posts