Lebih 500 pelarian Rohingya dikhuatiri maut selepas dua bot yang dipercayai dalam perjalanan menuju ke Malaysia dan negara Asia Tenggara lain dilaporkan karam di luar pantai Myanmar.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), kedua-dua bot itu dipercayai membawa lebih 500 penumpang yang melarikan diri daripada konflik serta keadaan hidup yang semakin buruk di Myanmar.
Menurut UNHCR dan IOM, sebuah bot yang membawa kira-kira 250 orang dilaporkan terputus hubungan sejurus berlepas dari negeri Rakhine pada penghujung Jun lalu, manakala sebuah lagi yang membawa sekitar 280 penumpang dipercayai karam berhampiran pantai Ayeyarwady pada 8 Julai.
Kedua-dua agensi PBB itu berkata, jika jumlah korban disahkan, tragedi tersebut bakal menjadi antara insiden paling buruk membabitkan pelarian Rohingya di laluan laut Andaman dan Teluk Bengal dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
UNHCR dan IOM turut menyatakan perjalanan itu dilakukan di luar musim pelayaran biasa ketika keadaan laut bergelora akibat musim monsun, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan di laut. Mereka menggesa negara-negara di rantau ini memperkukuh operasi mencari dan menyelamat, memperluas akses perlindungan kepada pelarian serta membanteras sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang mengambil kesempatan terhadap golongan terbabit.
Baca juga:
- Kes hak cipta plat MADANI: Mahkamah arah JPJ bayar RM40,000 kepada Hasan Azhari
- Lebih 500 pelarian Rohingya dikhuatiri maut selepas dua bot karam di luar pantai Myanmar
- JAKIM nafi iktiraf sijil nikah Rohingya, dokumen bukan keluaran pihak berkuasa agama
Menurut agensi berkenaan, peningkatan keganasan di negeri Rakhine, Myanmar, selain keadaan yang semakin sukar di kem-kem pelarian di Bangladesh, memaksa lebih ramai etnik Rohingya mengambil risiko merentasi laut untuk mencari perlindungan dan kehidupan yang lebih selamat, termasuk ke Malaysia dan Indonesia.
Data PBB menunjukkan kira-kira 6,500 pelarian Rohingya melakukan perjalanan laut sepanjang tahun lalu, dengan hampir 900 dilaporkan maut atau hilang, menjadikan laluan di Laut Andaman dan Teluk Bengal antara laluan migrasi paling berbahaya di dunia.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi mengenai jumlah sebenar mangsa yang terselamat atau ditemui, manakala usaha mengumpul maklumat lanjut dan pengesahan jumlah mangsa kedua-dua bot itu masih diteruskan.









