Lelaki ditahan hendap pelajar universiti, rakaman hidu kasut di Shah Alam tular | The Reporter

Lelaki ditahan hendap pelajar universiti, rakaman hidu kasut di Shah Alam tular

Rakaman CCTV tular merakamkan kegiatan suspek.
Rakaman CCTV menunjukkan tindakan suspek yang tular di media sosial sebelum penahanan dibuat polis.

Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam perbuatan menghendap seorang pelajar universiti awam selepas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek mengambil dan menghidu kasut di sebuah apartmen di Seksyen 7, Shah Alam tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, tindakan itu susulan satu hantaran yang dimuat naik di platform Threads oleh pemilik akaun ‘aynndyh’, memaparkan rakaman CCTV kejadian berkenaan.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita berusia 22 tahun, pada 12 Julai lalu kira-kira jam 3.55 petang.

“Mangsa yang merupakan pelajar sebuah universiti awam mendakwa telah diganggu dan diekori berulang kali oleh lelaki yang sama sejak April 2026 ketika berada di kawasan kampus serta di sekitar kediamannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan media polis IPD Shah Alam

Beliau berkata, susulan maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berjaya menahan suspek pada hari sama kira-kira jam 8.30 malam di sekitar Seksyen 7, Shah Alam.

Katanya, suspek merupakan berusia lingkungan 20-an dan juga pelajar sebuah universiti awam.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, manakala ujian saringan awal air kencing turut didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya.

Baca juga:

Menurut beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Shah Alam pada 13 Julai bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan menghendap secara berulang kali, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Sabryna Taha di talian 014-513 4509 bagi membantu siasatan.

Related Posts