“Mulai saat ini, saya adalah pekerja anda.”
Itu gambaran pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, apabila beliau menegaskan kemenangan tersebut bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya amanah besar daripada rakyat yang perlu dilaksanakan.
Dalam kenyataan selepas kemenangan itu, Dr Maszlee berkata, kepercayaan yang diberikan pengundi Puteri Wangsa perlu dijunjung dengan penuh rasa insaf dan tanggungjawab.
Beliau menyifatkan kemenangan itu bukan sesuatu yang perlu dimegahkan, sebaliknya satu manifestasi kepercayaan rakyat terhadap perjuangan yang dibawa.
“Terima kasih Puteri Wangsa atas ruang dan kepercayaan luar biasa ini. Mulai saat ini, saya adalah pekerja anda.
“Mari kita pimpin tangan satu sama lain. Bismillah, masa untuk mula bekerja,” katanya.
Dr Maszlee turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sahabat seperjuangan, jentera akar umbi, pasukan media, keluarga serta seluruh pengundi yang memberikan sokongan sepanjang kempen berlangsung.
Baca juga:
- Maszlee anggap kemenangan di Puteri Wangsa amanah besar, janji jadi ‘pekerja’ rakyat
- ‘Kekalahan di Johor pengajaran, perjuangan PH diteruskan di Negeri Sembilan’ – Mahfuz Omar
- PRN Negeri Sembilan: Pas akui rundingan kerjasama dengan BN sedang berjalan
Beliau berkata, sokongan dan kepercayaan daripada semua pihak menjadi kekuatan utama dalam menghadapi perjalanan kempen sehingga berjaya mempertahankan kerusi berkenaan.
Menurutnya, sebagai satu-satunya wakil PKR yang memenangi kerusi dalam PRN Johor kali ini, tanggungjawab yang dipikul menjadi lebih besar untuk memastikan amanah rakyat dilaksanakan sebaik mungkin.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan media yang menguruskan strategi kempen digital serta memastikan mesej perjuangan sampai kepada rakyat.
Dr Maszlee juga tidak melupakan jasa jentera pilihan raya yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen, selain menghargai sokongan isteri dan keluarga yang sentiasa memberikan doa serta pengorbanan.









