'Perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya' - Syed Saddiq luah rasa syukur | The Reporter

‘Perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya’ – Syed Saddiq luah rasa syukur

Syed Saddiq meluahkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah.
Gambar: Facebook Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa syukur selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan pembebasannya daripada empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Menerusi satu hantaran di media sosial pada Isnin, beliau menyifatkan keputusan mahkamah bukan sekadar mengenai kebebasan dirinya, sebaliknya menjadi simbol bahawa kebenaran dan prinsip perlu terus dipertahankan walaupun terpaksa melalui pengorbanan yang besar.

Menurut Syed Saddiq, sepanjang lebih enam tahun berdepan proses perundangan, beliau tidak pernah melarikan diri, menangguhkan prosiding mahupun meminta layanan istimewa.

Berpegang pada prinsip

Beliau berkata, pendiriannya itu lahir daripada kepercayaan bahawa Malaysia perlu dipimpin oleh individu yang sanggup kehilangan kedudukan demi mempertahankan prinsip, bukannya menggadaikan prinsip demi jawatan.

“Saya boleh memilih jalan yang lebih mudah. Saya boleh berdiam diri. Saya boleh tunduk.

“Tetapi kalau kita sendiri menyerah ketika diuji, bagaimana kita mahu meminta rakyat terus percaya kepada negara ini?” katanya.

Baca juga:
Perjuangan demi Malaysia

Syed Saddiq turut menegaskan bahawa perjuangannya bukan didorong oleh kebencian terhadap mana-mana pihak, sebaliknya kerana cintanya terhadap Malaysia.

Beliau mengakui perjalanan kes tersebut hampir merampas banyak perkara dalam hidupnya, termasuk masa, nama baik dan masa depan, namun tidak pernah menggugat keyakinannya terhadap negara.

Dalam hantaran sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya, keluarga, tunang, pasukan guaman, sahabat serta rakyat Muar dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan dan doa sepanjang beliau melalui proses perbicaraan.

Tanggungjawab sebagai wakil rakyat

Mengulas mengenai langkah seterusnya, Syed Saddiq berkata keputusan mahkamah itu bukan alasan untuk membalas dendam, sebaliknya meningkatkan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, sejurus selesai urusan di mahkamah, beliau akan meneruskan tugas di Parlimen kerana perjuangannya tidak pernah hanya tertumpu kepada dirinya semata-mata.

Related Posts