Senator Paraguay tuntut permohonan maaf Kylian Mbappé susulan komen kontroversi | The Reporter

Senator Paraguay tuntut permohonan maaf Kylian Mbappé susulan komen kontroversi

Kylian Mbappé dan Senator Paraguay Celeste Amarilla terlibat pertikaian selepas isu komen kontroversi.
Celeste Amarilla dan Kylian Mbappé tampil dengan kenyataan masing-masing selepas pertikaian yang tercetus selepas aksi Perancis menentang Paraguay. Gambar: Instagram Celeste Amarilla, X Kylian Mbappé

Pertikaman lidah antara bintang Perancis, Kylian Mbappé dan Senator Paraguay, Celeste Amarilla semakin panas selepas kedua-dua pihak saling berbalas kenyataan susulan pertemuan kedua-dua pasukan pada Piala Dunia 2026.

Kontroversi tercetus selepas kemenangan Perancis 1-0 ke atas Paraguay dalam aksi pusingan kalah mati, apabila Amarilla mengkritik tindakan Mbappé selepas tamat perlawanan, khususnya apabila pemain itu didakwa tidak berjabat tangan dengan penjaga gol Paraguay, Orlando Gill.

Dalam surat terbukanya kepada Mbappé, Amarilla berkata tindakan menghormati lawan selepas perlawanan adalah perkara penting dalam bola sepak, sama ada ketika menang mahupun kalah.

Beliau mendakwa Mbappé bukan sahaja enggan bersalaman dengan penjaga gol Paraguay, malah meraikan kemenangan di hadapan lawan dalam keadaan yang disifatkan sebagai tindakan kurang hormat.

Selain insiden selepas perlawanan, Amarilla turut membangkitkan beberapa kenyataan Mbappé sebelum aksi tersebut yang menurutnya menunjukkan sikap merendahkan pasukan Paraguay.

Beliau merujuk kepada kenyataan Mbappé yang didakwa berkata, ‘Jika kita perlu meletakkan tangan dalam lumpur, kita lakukan’, dengan mendakwa perkataan ‘lumpur’ itu merujuk kepada pasukan Paraguay.

Amarilla turut mendakwa Mbappé mengeluarkan kata-kata yang dianggap menghina ketika perlawanan berlangsung, termasuk jeritan berbaur makian yang menurutnya amat menyinggung dalam budaya Amerika Latin.

Kemarahan Amarilla kemudian diluahkan menerusi hantaran media sosial yang menyentuh latar belakang Mbappé, termasuk keturunan Cameroon pemain itu, identiti Perancisnya serta kritikan terhadap peribadi beliau.

Namun, kenyataan tersebut mencetuskan kontroversi apabila dianggap oleh banyak pihak sebagai serangan berunsur perkauman dan penghinaan peribadi terhadap Mbappé.

Baca juga:
Mbappé balas kenyataan

Susulan itu, Mbappé tampil membalas dengan mengecam kenyataan Amarilla dan menyifatkannya sebagai tidak wajar, terutama kerana ia datang daripada seorang wakil rakyat.

Mbappé berkata tindakan Amarilla telah mengalih perhatian daripada perjuangan pemain Paraguay yang memberikan aksi terbaik dalam kejohanan tersebut.

“Disebabkan tindakan melulu anda dan sikap perkauman anda yang terang-terangan, seluruh dunia kini telah melupakan perjalanan serta usaha bersejarah yang telah dilakukan oleh pemain Paraguay dalam Piala Dunia ini.

“Sebaliknya, perhatian kini tertumpu kepada seorang wanita yang tidak berkelayakan, yang memberikan gambaran paling buruk tentang negaranya,” katanya.

https://twitter.com/theMadridZone/status/2074344499766301079?s=20

Selepas menerima kecaman, Amarilla menerbitkan surat terbuka kepada Mbappé bagi mempertahankan dirinya.

Dalam surat itu, beliau menegaskan masalah tersebut bukan dengan Perancis, sebaliknya hanya melibatkan dirinya dan Mbappé. Beliau turut menjelaskan bahawa beliau menghormati Perancis kerana pernah menerima pendidikan di sekolah Perancis sejak kecil serta mempunyai hubungan rapat dengan budaya negara itu.

Amarilla mengakui hantaran asalnya ditulis ketika emosi memuncak, namun berkata beliau segera menyesal selepas menyedari dirinya membalas dengan bahasa yang sama kasar seperti yang diterimanya.

Tuntut permohonan maaf

Bagaimanapun, beliau tetap menuntut Mbappé menarik balik kenyataannya selepas pemain Perancis itu menyifatkannya sebagai ‘wanita yang hina dan tidak layak memegang jawatan’.

Menurut Amarilla, kenyataan tersebut merupakan serangan terhadap dirinya sebagai wanita dan ahli politik yang dipilih melalui proses demokrasi.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan keganasan berasaskan gender jika Mbappé tidak memohon maaf.

Related Posts