Seorang pendidik di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak dilaporkan cedera ketika cuba mengambil objek tajam yang dibawa seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ke kawasan sekolah, pagi Rabu.
Menurut laporan Borneo news of this week, kejadian itu dimaklumkan pihak sekolah menerusi e-mel kepada ibu bapa, penjaga, kakitangan dan pelajar.
Menurut makluman berkenaan, insiden tersebut berlaku di kawasan TK4 apabila tenaga pengajar terbabit cuba mengambil objek tajam yang dibawa pelajar berkenaan tanpa kebenaran.
Difahamkan, pelajar terbabit turut didakwa melakukan siaran langsung (livestream) menggunakan telefon bimbit yang dipasang pada bahagian kepalanya sebelum berlari di sekitar kawasan sekolah sambil membawa objek dipercayai senjata tajam.
Susulan kejadian itu, pelajar terbabit berjaya dikawal sebelum dibawa ke pejabat pengetua dan ditempatkan di bawah pengawasan pihak sekolah sementara menunggu tindakan lanjut.
Pihak sekolah turut menghubungi perkhidmatan ambulans dengan segera bagi membolehkan guru berkenaan yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Polis yang tiba di lokasi kemudian mengambil alih pengendalian kes, manakala ibu bapa pelajar terbabit turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Pemeriksaan terhadap beg pelajar berkenaan turut menemukan satu lagi barangan yang memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa.
Dalam pada itu, pihak sekolah mengesahkan tiada kecederaan lain dilaporkan, manakala pelajar yang berada berhampiran lokasi kejadian telah dipindahkan ke kawasan selamat sebagai langkah keselamatan.
Atas nasihat polis, pihak sekolah turut mengambil keputusan untuk menutup sekolah bagi memberi laluan kepada siasatan lanjut.
Ibu bapa juga diminta mengambil anak masing-masing lebih awal, manakala mereka yang menghadapi kesukaran berbuat demikian dinasihatkan menghubungi pihak sekolah bagi mengatur urusan pengambilan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan sementara menunggu maklumat rasmi daripada pihak berkuasa.
Sumber: Borneo news of this week, Sinar Harian







