Seorang pemandu lori telah menerima pengiktirafan sebagai ‘Wira Jalan Raya’ selepas tindakannya yang berani berjaya menyelamatkan nyawa dalam insiden kemalangan di Terowong Menora pada 15 Jun lalu.
Pengiktirafan itu disampaikan oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dalam Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan daripada Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) yang berlangsung di Dewan Banquet, Parlimen Malaysia.
Pemandu lori terbabit, Wong Tuck Meng, 40, diiktiraf selepas menggunakan kenderaan dipandunya untuk membantu memberhentikan sebuah bas yang hilang kawalan, sekali gus mengelakkan tragedi lebih besar dan menyelamatkan ramai pengguna jalan raya.
Dalam majlis berkenaan, dia menerima sijil penghargaan serta wang sagu hati berjumlah RM10,000.
Baca juga:
- Wira jalan raya: Pemandu lori terima pengiktrafan selepas insiden Terowong Menora
- Polis buka siasatan video tular lelaki berpakaian mirip pasukan keselamatan
- Akui pernah benci Syed Saddiq, pemilik restoran dedah sebab berubah pandangan
Dalam insiden tersebut, pemandu bas, Ahmad Yasin Ab. Malek, 41, turut terlibat dan hadir pada majlis penghargaan berkenaan yang diadakan sejurus selepas YB Menteri membentangkan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 bagi Bacaan Kedua di Parlimen Malaysia.
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menghargai keberanian, tanggungjawab serta keprihatinan pengguna jalan raya, selain selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kebersamaan dalam membina ekosistem pengangkutan yang lebih selamat.
MOT turut berharap insiden berkenaan menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mengutamakan keselamatan jalan raya serta memupuk budaya saling membantu ketika berdepan situasi kecemasan.
Terdahulu, tular rakaman video sebuah lori yang menahan sebuah bas yang dipercayai hilang kawalan berhampiran Terowong Menora. Tindakan pantas pemandu lori berkenaan meraih pujian ramai kerana berjaya mengelakkan kemalangan lebih buruk serta menyelamatkan banyak nyawa.









