SPRM panggil empat agensi siasat pemindahan tiga gajah ke Jepun | The Reporter

SPRM panggil empat agensi siasat pemindahan tiga gajah ke Jepun

tiga gajah Asia di kawasan zoo Tennoji
Dara, Amoi dan Kelat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun yang sebelum ini mendapat perhatian umum.

Memetik laporan Harian Metro, SPRM sedang giat menjalankan siasatan dengan memanggil serta mendapatkan keterangan daripada sekurang-kurangnya empat agensi berkaitan, termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Perak.

Selain itu, pihak Majlis Perbandaran Taiping turut dipanggil bagi membantu siasatan berhubung proses dan kelulusan berkaitan pemindahan berkenaan.

SPRM turut mendapatkan keterangan daripada pihak Zoo Taiping berhubung prosedur pemindahan tiga gajah yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK), termasuk semakan terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai berkaitan program tersebut.

Dalam masa sama, siasatan turut memberi tumpuan kepada NRES, PERHILITAN serta ejen yang didakwa terlibat dalam urusan pemindahan haiwan berkenaan.

SPRM turut mengambil maklum dakwaan wujudnya transaksi kewangan melibatkan urusan tersebut, termasuk jumlah yang dikaitkan sehingga RM53 juta serta dakwaan bayaran tidak disalurkan kepada kerajaan.

Baca juga:

Menurut kenyataan SPRM, siasatan masih berada pada peringkat awal dan dijalankan secara menyeluruh.

Orang ramai dalam pada itu dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Sebelum ini, bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan dakwaan bahawa beliau atau bekas pejabatnya terlibat dalam sebarang amalan rasuah berkaitan pemindahan tiga ekor gajah dari Malaysia ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.

Beliau menyifatkan tuduhan yang dibangkitkan oleh kumpulan hak hidupan liar sebagai tidak berasas dan mengalu-alukan sebarang siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan perkara itu disiasat secara telus.

Related Posts