Nik Nazmi nafi dakwaan rasuah pemindahan DAK ke Jepun, sedia disiasat SPRM | The Reporter

Nik Nazmi nafi dakwaan rasuah pemindahan DAK ke Jepun, sedia disiasat SPRM

Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan dakwaan rasuah berkaitan pemindahan tiga gajah dari Malaysia ke Zoo Tennoji di Jepun.
Nik Nazmi Nik Ahmad. Gambar: Utusan

Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan dakwaan bahawa beliau atau bekas pejabatnya terlibat dalam sebarang amalan rasuah berkaitan pemindahan tiga ekor gajah dari Malaysia ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.

Memetik laporan Harian Metro, beliau menyifatkan tuduhan yang dibangkitkan oleh kumpulan hak hidupan liar sebagai tidak berasas dan mengalu-alukan sebarang siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan perkara itu disiasat secara telus.

Dakwaan tersebut timbul selepas kumpulan hak hidupan liar mendakwa sejumlah RM53 juta yang dikaitkan dengan pemindahan tiga gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat tidak disalurkan kepada kerajaan, sebaliknya berakhir di tangan individu tertentu.

Mengulas perkara itu, Nik Nazmi berkata perbincangan awal mengenai pemindahan gajah berkenaan memang bermula ketika beliau masih menerajui kementerian, namun kelulusan muktamad hanya diberikan selepas beliau meninggalkan jawatan tersebut pada Julai 2025.

Menurutnya, pemindahan itu bukan melibatkan penjualan hidupan liar secara komersial, sebaliknya merupakan proses pemindahan rentas sempadan yang memerlukan persetujuan kerajaan Malaysia serta kelulusan daripada PERHILITAN dan kementerian berkaitan.

Baca juga:

Beliau turut menjelaskan bahawa perjanjian berhubung pemindahan gajah berkenaan adalah antara Zoo Taiping dan Zoo Tennoji, bukannya perjanjian secara langsung antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Jepun.

Nik Nazmi menegaskan keputusan akhir mengenai pemindahan itu memerlukan kelulusan menteri yang bertanggungjawab pada ketika itu dan menegaskan bahawa kelulusan tersebut dibuat selepas tempoh perkhidmatannya berakhir.

“Saya tidak ingat butiran tepatnya, tetapi ia sememangnya berlaku selepas tempoh saya,” katanya.

Related Posts