Tular satu perkongsian tentang kejadian menyayat hati membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Kajang, pagi tadi.
Seorang pengguna media sosial di Thread, Mohd Effendi, memaklumkan bahawa sekitar jam 6.50 pagi, dia dikejutkan dengan suara sayup seorang kanak-kanak meminta pertolongan dari kawasan taman permainan kediaman tersebut.
“Sekitar jam 6:50 pagi, suasana pagi yang kebiasaannya tenang dikejutkan dengan suara sayup seorang kanak-kanak meminta pertolongan dari kawasan taman permainan kediaman kami. Ketika itu, sebahagian jemaah surau yang baru selesai menunaikan solat Subuh,” katanya.
Kejadian itu kemudian disedari oleh penduduk selepas menerima notifikasi melalui kumpulan komuniti setempat.
Baca juga:
- Kanak-kanak 11 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri di Kajang
- Flat haram Sungai Tekali: Warga Rohingya dakwa pemilik tanah tawarkan sewa
- Video tular pukul pembantu rumah: Polis tahan dua pasangan suami isteri
Menurut perkongsian itu lagi, beberapa jemaah surau yang baru selesai menunaikan solat Subuh serta penduduk berhampiran segera bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai insiden tersebut.
“Beberapa penduduk berhampiran bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan melalui notifikasi komuniti bahawa seorang kanak-kanak lelaki yang masih memakai beg sekolah dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh,” jelasnya.
Tambahnya, panggilan kecemasan segera dibuat sebelum pasukan ambulans dan polis tiba di lokasi sekitar jam 7.30 pagi bagi menjalankan tindakan lanjut. Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.









