Warga Rohingya yang pernah menyewa di sebuah flat haram di Sungai Tekali, Hulu Langat mendakwa kediaman berkenaan sebenarnya ditawarkan sendiri oleh pemilik tanah kepada mereka sejak tahun 2019. Dakwaan itu timbul susulan pendedahan mengenai kewujudan rumah kediaman yang dibina secara tidak sah di kawasan berkenaan.
Memetik laporan Buletin TV3, pemilik tanah terbabit didakwa membangunkan hampir 30 unit kediaman secara haram dengan kadar sewa antara RM400 hingga RM750 sebulan bergantung kepada keluasan serta kemudahan yang disediakan. Kesemua unit berkenaan kemudiannya disewakan kepada warga asing, khususnya dari Myanmar.
Bagaimanapun, penghuni mula meninggalkan kediaman tersebut selepas operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia bersama IPD Kajang menerusi Ops Kutip pada 28 Februari tahun lalu.
Baca juga:
- Kanak-kanak 11 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri di Kajang
- Flat haram Sungai Tekali: Warga Rohingya dakwa pemilik tanah tawarkan sewa
- Video tular pukul pembantu rumah: Polis tahan dua pasangan suami isteri
Seorang bekas penghuni, Husain Abdullah mendakwa struktur berkenaan dibina secara berperingkat sejak 2018 oleh pemilik tanah dengan bantuan pekerja kontrak dari Indonesia dan Vietnam sehingga menempatkan sekitar 25 hingga 30 unit kediaman. Katanya, pemilik juga memperoleh pendapatan sewa mencecah lebih RM15,000 sebulan selain menyediakan air dan elektrik secara percuma yang dipercayai diperoleh secara tidak sah.
Menurut Husain lagi, penduduk setempat sebenarnya mengetahui kewujudan penempatan berkenaan sejak awal, malah pemilik tanah sama pernah membina struktur serupa pada 2014 sebelum merobohkannya selepas projek baharu siap dibina. Dakwanya, aktiviti tersebut bukanlah sesuatu yang tersembunyi daripada pengetahuan komuniti sekitar.
Sementara itu, seorang lagi bekas penghuni, Abdullah Saidurahman menafikan dakwaan bahawa warga Rohingya menyewa melalui pihak ketiga, sebaliknya menegaskan pemilik tanah sendiri yang menawarkan unit kediaman tersebut secara langsung. Katanya, hanya sebilangan kecil unit diduduki penduduk tempatan manakala selebihnya disewa warga Rohingya.









