Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengesahkan terdapat pembinaan tanpa kelulusan di kawasan Sungai Makau, Hulu Langat, selepas menerima aduan serta video tular berkaitan isu tersebut.
Menurut MPKj, semakan mendapati struktur berkenaan dibina di atas Lot 217, Lot 218 serta sebahagian tanah kerajaan (rezab sungai) yang terletak bersebelahan Kampung Kenangan 18, Sungai Tekali, Mukim Hulu Langat. Kawasan tersebut di bawah zon perumahan berdasarkan Rancangan Tempatan MPKj Selangor 2035.
“Berdasarkan semakan MPKj, isu pembinaan haram melibatkan tapak yang terletak di Lot 217, 218 dan sebahagian tanah kerajaan (rezab sungai) bersebelahan Kg. Kenangan 18, Sungai Tekali, Mukim Hulu Langat, Daerah Hulu Langat.
“Merujuk Rancangan Tempatan MPKj Selangor 2035 (Pengubahan 2) tapak dizonkan untuk kegunaan perumahan,” menurut kenyataan itu.
Tiada sebarang permohonan
Bagaimanapun, pihak MPKj memaklumkan tiada sebarang permohonan dikemukakan melalui Sistem OSC 3.0 Plus Online bagi Kebenaran Merancang, Pelan Infrastruktur mahupun Pelan Bangunan sebelum kerja-kerja pembinaan dijalankan. Justeru, pembinaan di lokasi berkenaan disahkan dilakukan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Susulan itu, Majlis Perbandaran Kajang bersama agensi berkaitan telah menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan terbabit dan mengeluarkan notis serta arahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Baca juga:
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
- Azhar Ahmad, Nik Alif Aiman capai perdamaian, selesai salah faham secara baik
Dalam pada itu, MPKj menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa dalam menangani sebarang pelanggaran undang-undang pembinaan dalam kawasan pentadbirannya.
MPKj turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas keprihatinan dan maklumat yang disalurkan berhubung isu berkenaan.
Terdahulu, video yang dimuat naik oleh penyampai radio dan personaliti media sosial, Azad Jasmin atau lebih dikenali sebagai Pak Azad tular apabila merakam sebuah rumah flat di Hulu Langat yang menimbulkan persoalan.
Susulan itu, ADUN Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz memaklumkan tindakan pemilik tanah yang didakwa membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan, termasuk menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik, dikenal pasti sebagai antara punca utama isu penempatan komuniti Rohingya di Sungai Tekali terus berlarutan.









