Azhar Ahmad, Nik Alif Aiman capai perdamaian, selesai salah faham secara baik | The Reporter

Azhar Ahmad, Nik Alif Aiman capai perdamaian, selesai salah faham secara baik

Datuk Dr. Azhar Ahmad dan Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi mengeluarkan kenyataan bersama memaklumkan penyelesaian pertikaian serta mencapai perdamaian melalui perbincangan secara baik.
Gambar: Facebook Azhar Ahmad

Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad dan pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertikaian yang timbul susulan insiden yang didakwa berlaku semasa Program Pemerkasaan Bangsa Pemimpin Pelajar dan Pengurusan Kanan anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, pada 20 Mei lalu.

Menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua pihak memaklumkan bahawa mereka saling memohon maaf berhubung salah faham yang tercetus daripada insiden berkenaan serta sebarang kenyataan berkaitan yang pernah dikeluarkan oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, permohonan maaf tersebut diterima dengan hati terbuka atas semangat ukhuwah, perdamaian dan saling menghormati demi kepentingan semua pihak yang terlibat.

Kedua-dua pihak turut memaklumkan bahawa satu perbincangan secara mesra telah diadakan dan berjaya mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik tanpa meneruskan sebarang pertikaian yang berpanjangan. Perbincangan berkenaan turut disertai beberapa individu lain termasuk Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Selesai secara muktamad

Menerusi kenyataan tersebut juga, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, komen atau tindakan yang boleh memburukkan, mengaibkan atau menjejaskan nama baik mana-mana pihak berkaitan insiden tersebut.

Mereka turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memudahkan penyelesaian secara baik itu serta berharap hubungan sesama masyarakat dapat terus dipelihara dalam suasana saling menghormati, berlandaskan nilai kesopanan dan keharmonian.

“Dengan kenyataan ini, kedua-dua pihak menganggap perkara ini telah diselesaikan secara muktamad dan memohon agar semua pihak menghormati privasi serta keputusan yang telah dicapai,’ katanya.

Baca juga:

Terdahulu, Nik Alif Aiman yang juga merupakan cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa ditampar seorang senator daripada UMNO ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik. Susulan itu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada Sabtu lalu.
Advertisement

Bagaimanapun, Azhar Ahmad menafikan dakwaan mengasari pelajar berkenaan dalam program yang berlangsung pada 20 Mei lalu. Beliau menjelaskan tindakan menyentuh pipi pelajar berkenaan dilakukan sebagai tanda kemesraan selepas dimaklumkan bahawa pelajar itu merupakan anak saudara kepada seorang sahabatnya.

Related Posts