Satu insiden melibatkan seekor lembu korban yang tular di media sosial ketika Program Korban Perdana DUN Kuala Perlis dijelaskan sebagai tindakan terpaksa demi menjamin keselamatan petugas serta orang awam di lokasi kejadian.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, insiden berkenaan berlaku ketika Program Korban Perdana DUN Kuala Perlis melibatkan keseluruhan 25 ekor lembu, namun seekor daripadanya terlepas selepas tali ikatan tercabut dan bertindak agresif.
“Kita buat program korban membabitkan 25 ekor lembu. Hanya seekor yang talinya terlepas, lari dan mengamuk, jadi kita terpaksa bertindak bagi mengelak sebarang mudarat atau bahaya kepada petugas atau orang awam,” katanya.
Beliau menjelaskan, tembakan yang dilepaskan hanya mengenai bahagian kaki lembu tersebut bagi melumpuhkan pergerakan, bukan untuk membunuh haiwan berkenaan.
“Lembu yang kita tembak itu tidak mati, tembakan dilepaskan mengenai kaki dan kemudian kita melakukan proses penyembelihan seperti biasa,” katanya.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Menurutnya lagi, beliau sendiri telah menyempurnakan sembelihan 24 ekor lembu sebelum insiden melibatkan seekor lembu terakhir itu berlaku.
Abu Bakar berkata, tindakan tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga berdasarkan risiko kejadian amukan haiwan korban yang pernah berlaku di beberapa negeri lain sehingga mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.
“Saya tembak bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti yang berlaku di beberapa lokasi lain di seluruh negara sehingga ada kes yang mengorbankan nyawa akibat ditanduk lembu,” katanya.
Sumber: Harian Metro









