Kapal SS Free Gaza dan SS Liberty cipta sejarah tembusi sekatan Israel ke Gaza pada 2008 | The Reporter

Kapal SS Free Gaza dan SS Liberty cipta sejarah tembusi sekatan Israel ke Gaza pada 2008

Kapal SS Free Gaza dan SS Liberty disambut rakyat Palestin selepas berjaya tiba di Gaza pada tahun 2008.
Gambar: Free Gaza

Misi kemanusiaan untuk memecahkan kepungan Gaza bukanlah perjuangan baharu, sebaliknya telah berlangsung sejak berbelas tahun lalu dengan pelbagai cubaan dilakukan aktivis antarabangsa.

Sejak tahun 2008, pelbagai misi Freedom Flotilla dilancarkan oleh aktivis antarabangsa bagi memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang hidup di bawah kepungan.

Detik paling bersejarah berlaku pada Ogos 2008 apabila dua kapal kecil, SS Free Gaza dan SS Liberty, berjaya tiba di Gaza sekali gus menjadi pelayaran pertama yang berjaya menembusi sekatan laut Israel.

Kedua-dua kapal itu dikendalikan sekumpulan aktivis hak asasi manusia antarabangsa daripada Free Gaza Movement yang mengambil masa hampir dua tahun merancang misi tersebut. Dana operasi pula dikumpulkan menerusi ceramah kecil di gereja, masjid, rumah ibadat Yahudi serta kediaman keluarga, rakan dan penyokong mereka.

Mereka berlepas dari Cyprus dan belayar lebih 350 kilometer meredah laut bergelora walaupun berdepan ancaman penggunaan kekerasan oleh Israel untuk menghalang perjalanan itu.

Sepanjang pelayaran, hampir semua sistem komunikasi dan navigasi kapal dilaporkan terganggu akibat gangguan luar daripada pihak tidak dikenali. Namun kedua-dua kapal tetap meneruskan perjalanan sebelum berjaya tiba di Gaza.

Disambut dengan kegembiraan

Ketibaan kapal tersebut disambut sorakan, tangisan dan laungan kegembiraan ribuan rakyat Palestin yang memenuhi pantai Gaza selepas bertahun-tahun hidup di bawah sekatan ketat.

Memetik laporan artikel Free Gaza yang ditulis oleh Greta Belin, misi itu membawa satu mesej jelas kepada dunia.

“Dunia tidak melupakan rakyat di bumi ini. Hari ini, kami semua adalah rakyat Gaza.”

Baca juga:

Pengasas bersama Free Gaza Movement, Huwaida Arraf berkata kejayaan tersebut membuktikan rakyat biasa mampu mencipta perubahan dan tidak perlu berdiam diri terhadap ketidakadilan.

Sementara itu, Paul Larudee menyifatkan pelayaran itu sebagai kemasukan bebas pertama ke Gaza dalam tempoh 41 tahun dan berharap lebih ramai masyarakat antarabangsa akan menyertai usaha berkenaan.

Aktivis keamanan Israel, Jeff Halper pula berkata tindakan mereka membuktikan masyarakat mampu melakukan perkara yang gagal dilakukan kerajaan dalam menentang ketidakadilan.

Tahun 2010 cetus peristiwa

Bagaimanapun, sejak 2010, semua flotila yang cuba memasuki Gaza dipintas atau diserang tentera Israel di perairan antarabangsa.

Insiden paling mendapat perhatian dunia berlaku pada 2010 apabila komando Israel menyerbu kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan dan lebih 600 aktivis antarabangsa. Serangan itu mengorbankan 10 aktivis serta mencetuskan kecaman antarabangsa terhadap Israel.

Cubaan seterusnya diteruskan menerusi Freedom Flotilla II pada 2011 dan Freedom Flotilla III pada 2015, namun kebanyakan kapal dihalang daripada sampai ke Gaza akibat tekanan diplomatik, sekatan negara tuan rumah dan tindakan ketenteraan Israel.

Pada 2018, flotila dikenali sebagai Just Future for Palestine kembali mencabar sekatan Gaza, tetapi kapal Al Awda dan Freedom turut dirampas tentera laut Israel. Peserta mendakwa mereka diserang dan ditahan sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Tahun lalu, kapal bantuan Conscience diserang dron bersenjata berhampiran Malta ketika dalam perjalanan menuju Gaza. Serangan itu menyebabkan kebakaran dan kebocoran besar pada kapal serta mencederakan empat aktivis.

Semalam, 428 aktivis Global Sumud Flotilla termasuk 29 rakyat Malaysia dibebaskan susulan tekanan antarabangsa yang semakin memuncak dan dilaporkan juga beberapa aktivis mengalami kecederaan.

Walaupun berulang kali dipintas dan diserang, misi Freedom Flotilla terus diteruskan dan kini menjadi simbol solidariti antarabangsa terhadap penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

Sumber: Al- Jazeera, Free Gaza

Related Posts