Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengeluar snek terbesar Jepun, Calbee, terpaksa menukar pembungkusan bagi 14 produknya kepada reka bentuk hitam-putih berikutan kekurangan bahan dakwat. Gangguan ini dikaitkan dengan masalah bekalan naphtha, iaitu bahan berasaskan petroleum yang digunakan dalam penghasilan dakwat percetakan.
Memetik laporan The Guardian, perubahan tersebut melibatkan beberapa produk utama termasuk kerepek kentang popular Calbee. Syarikat itu menyatakan langkah beralih kepada penjenamaan monokrom akan dilaksanakan menjelang akhir Mei sebagai tindak balas terhadap kekangan bekalan bahan mentah tertentu.
Kekurangan naphtha dilaporkan berpunca daripada gangguan rantaian bekalan yang berkait dengan sekatan di Selat Hormuz serta ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah. Jepun sendiri bergantung kepada import dari rantau itu untuk kira-kira 40 peratus keperluan naphtha negara.
Dalam masa yang sama, syarikat-syarikat Jepun lain turut berdepan tekanan kos dan kekurangan bahan mentah, walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan negara masih stabil. Sebelum ini, terdapat juga panik sementara dalam industri makanan ringan apabila satu jenama lain menghentikan pengeluaran akibat masalah bahan bakar kilang.
Baca juga:
- Video kembali tular, restoran di Iran enggan terima bayaran pelanggan China
- Vijay angkat sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu
- Dua rakyat Singapura dikuarantin susulan wabak hantavirus kapal persiaran
Kerajaan Jepun menjelaskan bahawa usaha sedang dilakukan untuk memastikan bekalan naphtha mencukupi, termasuk meningkatkan import dari luar Timur Tengah. Mereka turut memberi jaminan bahawa tiada gangguan segera terhadap bekalan dakwat atau bahan berkaitan yang dilaporkan setakat ini.
Calbee, yang ditubuhkan pada 1949 di Hiroshima dan kini beroperasi di peringkat global termasuk selepas mengambil alih Seabrook Crisps pada 2018, terus berdepan kesan ekonomi daripada krisis ini. Saham syarikat itu mencatatkan penurunan kecil selepas berita berkenaan, walaupun pasaran saham Jepun secara keseluruhan kekal stabil.











