Dua rakyat Singapura dikuarantin susulan wabak hantavirus kapal persiaran | The Reporter

Dua rakyat Singapura dikuarantin susulan wabak hantavirus kapal persiaran

Dua rakyat Singapura dikuarantin di NCID selepas dikaitkan dengan wabak hantavirus kapal persiaran MV Hondius
Gambar: South China Morning Post.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Agensi Penyakit Berjangkit Singapura (Communicable Diseases Agency, CDA) memaklumkan dua penduduk Singapura yang menaiki kapal persiaran MV Hondius kini diasingkan di Pusat Nasional Penyakit Berjangkit Singapura (NCID) bagi menjalani ujian hantavirus selepas kapal itu dikaitkan dengan wabak Andes hantavirus.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan, kedua-dua individu terbabit sedang dipantau rapi sementara menunggu keputusan ujian. Seorang daripadanya mengalami simptom selesema ringan berupa hidung berair manakala seorang lagi tidak menunjukkan sebarang gejala. Pihak berkuasa menegaskan risiko penularan kepada orang awam di Singapura ketika ini masih rendah.

Kedua-dua lelaki terbabit dilaporkan berada di atas MV Hondius ketika kapal itu berlepas dari pelabuhan Ushuaia, Argentina pada 1 April lalu. Individu pertama ialah lelaki warga Singapura berusia 67 tahun yang tiba di republik itu pada 2 Mei, manakala seorang lagi merupakan penduduk tetap Singapura berusia 65 tahun yang pulang pada 6 Mei.

8 kes dikaitkan kluster wabak MV Hondius

Mereka turut dilaporkan menaiki penerbangan sama bersama satu kes hantavirus yang disahkan dari St Helena ke Johannesburg pada 25 April lalu. Bagaimanapun, pesakit terbabit tidak memasuki Singapura dan dilaporkan meninggal dunia di Afrika Selatan.

Sehingga 6 Mei, sebanyak lapan kes termasuk tiga kematian dikaitkan dengan kluster wabak di atas kapal persiaran itu. Tiga daripada kes tersebut disahkan positif hantavirus manakala selebihnya masih dalam siasatan. World Health Organization (WHO) pula menilai risiko penularan global ketika ini sebagai rendah.

Baca juga:

Menurut CDA, sekiranya kedua-dua individu itu didapati negatif hantavirus, mereka tetap akan dikuarantin selama 30 hari dari tarikh pendedahan terakhir kerana kebanyakan kes dijangka menunjukkan simptom dalam tempoh tersebut. Mereka juga akan menjalani ujian semula sebelum dibebaskan dan dipantau melalui panggilan telefon sehingga 45 hari, iaitu tempoh inkubasi maksimum virus berkenaan.

Namun, jika disahkan positif, mereka akan terus dirawat dan dipantau di hospital memandangkan jangkitan hantavirus boleh menjadi serius. Pihak berkuasa turut akan menjalankan pengesanan kontak rapat bagi mengenal pasti individu yang berisiko terdedah sepanjang tempoh berjangkit.

Wabak Hantavirus

Hantavirus merupakan virus yang dibawa oleh tikus dan boleh menjangkiti manusia melalui penyedutan habuk tercemar dengan air kencing, najis atau air liur haiwan itu. Walaupun kebanyakan hantavirus tidak menular antara manusia, spesies Andes virus yang terdapat di beberapa kawasan Amerika Selatan dikaitkan dengan kemungkinan penularan dari manusia ke manusia.

Antara simptom jangkitan Andes virus termasuk demam, sakit badan, keletihan, masalah gastrousus dan kesukaran bernafas sebelum boleh menjadi lebih serius sehingga menyebabkan renjatan serta kematian. Ketika ini tiada rawatan antivirus khusus atau vaksin untuk penyakit berkenaan.

Sumber: CDA Singapura

Related Posts